Macam-macam ada dalam fikiran dan perasaan. Cumanya tidak berjaya diluahkan dengan sebuah penulisan. Teringat sewaktu mengikuti 'parenting course' di Manchester. Hari pertama kami didedahkan dengan satu kitaran, THOUGHT, FEELING and ACTION. Ketiga-tiga perkara ini saling berkait antara satu sama lain. Kami diberikan satu contoh. Bayangkan seorang ibu atau ayah yang bangun lewat pada suatu pagi, bergegas menyiapkan diri untuk ke pejabat, pergi ke dapur untuk mengalas perut dan dilihatnya anak kecilnya memegang cawan yang kosong dan lantai basah. Pastinya ibu atau ayah tadi akan menjerit dan mungkin juga ada yang akan mengherdik anak itu tadi kerana menumpahkan air dari cawan. Tapi bayangkan pula di suatu hari yang lain, ibu atau ayah bangun awal, sempat melakukan senaman ringan, bersiap dalam keadaan tenang. Mungkin juga ada yang membuatkan sarapan. Reaksi akan pasti berbeza sekiranya anak itu tadi tertumpah air ke lantai. Mungkin si ibu dengan lembut, mengajak anak itu tadi mengelap air yang tumpah bersama-sama.
Sebagai seorang muslim, kita dididik dengan rukun iman sebagai asas kepada keislaman seseorang. Mempercayai akan 6 rukun itu duduknya di hati. Memikirkan akan segala kejadian disekeliling kita letaknya di aqal kita. Dengan melakukan 5 rukun Islam sebagai asas kepada ibadat-ibadat yang lain itulah terhasilnya perbuatan. MELIHAT kejadian alam membawa persoalan kepada yang menciptakan. Lantas FIKIRAN akan cuba membantu menyelesaikan persoalan. Ini membawa kepada keyakinan di dalam HATI akan wujudnya Allah, tuhan yang menciptakan. Apabila HATI telah yakin bahawa Allah sahaja yang layak disembah sebagai tuhan dan tuan, maka berFIKIRlah aqal akan cara penyembahan dan terhasillah solat serta IBADAT yang lain setelah meBACA dari Al Quran.
Sempurnalah sudah kejadian Allah. Maha Suci Allah yang telah menciptakan segala sesuatu dengan sempurna, baik dari sudut fizikalnya, sifatnya mahupun ruhnya.
*Gambar-gambar yang dirakam sewaktu famili outing ke Pantai Irama, Bachok.
Friday, May 2.
No comments:
Post a Comment