Thursday 22 May 2008

Lelaki Vs Wanita.. part 1

(4:34) Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang ta`at kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka) . Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya , maka nasehatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya . Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Sesungguhnya Islam telah melebihkan darjat seorang lelaki (dalam konteks rumahtangga; suami) berbanding dengan wanita. Kelebihan lelaki sebagai pemimpin tidak dapat dinafikan, baik dalam konteks negara mahupun keluarga, iaitu unit kecil dalam masyarakat yang membentuk sesebuah negara. Ayat di atas menjadi bukti kepada kelebihan yang telah Allah letakkan kepada lelaki dan suami.

Keindahan Islam terbukti apabila perhubungan kekeluargaan yang bermula dengan hubungan suami isteri itu sendiri telah termaktub di dalam kitab suci rujukan umatnya. Demikian juga yang dicontohkan oleh Nabi besar Muhammad SAW. Kata-kata baginda,' jikalau manusia itu dibenarkan sujud kepada manusia yang lain, akan pasti kusuruh sujud si isteri kepada suaminya,' menjadi dalil yang menguatkan lagi kedudukan suami atau lelaki di dalam Islam.

Benar Allah telah meletakkan tugas lelaki itu sebagai pemimpin, dan didalam konteks ayat ini ada ulama yang mentafsirkan perkataan 'qawam' sebagai pelindung dan pencari rezeki (provider and maintaner) kepada keluarganya. Apabila disebut pemimpin, maka segala tugas, sikap dan sifat pemimpin rumahtangga itu mestilah menurut apa yang telah Islam gariskan kepada mana-mana peringkat pemimpin, baik pemimpin negara, masyarakat, keluarga mahupun pemimpin kepada diri sendiri.

Apabila disebut pelindung, wanita dan anak-anak di dalam keluarga tersebut pastinya dilindungi lelaki yang juga suami dan ayah dari aspek fizikal, mental, spiritual dan emosi. Aspek tersebut perlu keseimbangan dalam diri seorang manusia. Akhir-akhir ini kita melihat banyak pihak yang mula sedar akan kepentingan keseimbangan aspek emosi dalam diri seseorang kerana itu akan menentukan kejayaannya di dalam kehidupan. Adalah amat penting bagi seorang suami dan ayah menyedari akan kepentingan keseimbangan aspek-aspek yang disebutkan.

Bagi isteri, konsep perlindungan yang diharapkan dari seorang suami bukan hanya berbentuk fizikal. Melihat kepada aspek emosi, suami perlu memastikan isteri dilindungi sehingga merasa selamat untuk meluahkan fikiran dan perasaannya. Jika dilihat dari aspek kepimpinan, suami sebagai pemimpin perlulah berusaha memberi peluang kepada isteri untuk meluahkan pandangannya. Lihat sahaja seerah Rasulullah yang meminta pandangan dari Ummu Salamah selepas sahabat-sahabat menunjuk perasaan dengan tidak mahu mengikuti perintah Rasululullah selepas perjanjian Hudaibiyyah ditandatangani. Pandangan bernas Ummu Salamah dipersetujui Rasulullah dan lantas dilaksanakan baginda.

Dari buku Mars and Venus Together Forever, John Gray menekankan betapa perlunya konsep komunikasi yang berkesan diterapkan ke dalam rumahtangga. Suami dan isteri tidak dapat lari dari berkomunikasi. Wanita yang secara fitrahnya perlu berbicara untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalahnya perlu diberi ruang oleh suaminya untuk si isteri meluahkan pikiran dan perasaannya. Menyorot kisah di mana seorang sahabat yang telah di'leteri' isterinya bercadang bertemu dengan Saidina Umar untuk menceritakan hal isterinya. Apabila dia sampai di rumah Saidina Umar, dia terdengar isteri Saidina Umar me'leteri' suaminya. Dia lalu membatalkan niatnya untuk bertemu Saidina Umar. Saya pasti perkataan 'leter' itu tidak sesuai digunakan dalam konteks kisah tersebut. Sebaliknya, Saidina Umar pasti memahami keperluan si isteri dan memberi ruang kepada isterinya untuk meluahkan fikiran dan perasaannya.

Di dalam buku ini, Gray telah mencadangkan teknik yang boleh diaplikasikan oleh kedua-dua suami dan isteri tanpa mereka perlu mengubah fitrah mereka. (bersambung..)







No comments: