Saturday, 19 April 2008

Melonjakkan aktivisma wanita dalam pembangunan masyarakat

Jumaat, 18hb April 2008.
Dewan Bunga Raya
Hotel Perdana
Kota Bharu.

Alhamdulilah, saya berkesempatan mengikuti program anjuran Wanita JIM Kelantan yang tajuknya seperti di atas. Tahniah kepada wanita JIM kelantan kerana berjaya menarik audiens dari pelbagai 'background' memandangkan pengisian ke2 yang berbentuk forum telah dijayakan oleh Senator Mumtaz sebagai wakil dari kerajaan negeri. Penutup pula telah dirasmikan oleh YB Pn Ubai yang juga Exco wanita kerajaan negeri.

Secara keseluruhannya, biarpun saya bukanlah salah seorang dari pihak pengajur, dapat saya simpulkan bahawa program telah berjaya sekurang-kurangnya memberi pendedahan kepada audiens. Memerhatikan kepelbagaian audiens, dari yang masih menuntut di kolej kejururawatan dan hopital USM sehinggalah kepada yang sudah mempunyai anak-anak dara dan teruna. Mungkin juga ada yang sudah bercucu.

Dr Harlina, Ketua wanita JIM pusat memberikan pengisian yang cukup menarik bagi saya. Sebelum ini saya hanya mendengar namanya sehaja. Saya kagum dengan kepetahan beliau bercakap dan hujah-hujah yang dikemukan cukup mengujakan. Saya cuba untuk berkongsi isi-isi bernas yang saya dapati sangat bagus untuk dikongsikan bersama di sini.

1. Lelaki dan perempuan diciptakan Allah untuk tujuan yang sama, mengabdikan diri kepadaNya. Mereka juga punya tanggungjawab yang sama iaitulah sebagai HAMBA dan KHALIFAH Allah di muka bumi ini. Bila berhadapan dengan isu amar ma'ruf dan nahi munkar, masing-masing punya tanggungjawab yang sama juga.

2. Dr Har ada meminta Ketua Muslimat JIM PERAK bertanya kepada Menteri Besar Perak yang baru, mengapakah tidak dilantik Exco dikalangan muslimat? Dijawabnya dengan ayat Quran, Alrijalu qawwamuna 'allan nisa'.. Makanya bila lelaki menjaga wanita, tidak perlulah wanita duduk semeja untuk berbincang apa yang dikehendaki dan diperlukan oleh wanita. Serahkan sahaja kepada lelaki untuk membuat keputusan.



Perkara ini dibidas oleh Dr Har yang menyatakan ayat itu sebenarnya lebih bermaksud lelaki bertanggungjawab melindungi wanita bukan setakat secara fizikal malah sehingga mana wanita merasa selamat untuk menyatakan pendapatnya. Islam itu datang ketika mana wanita ditindas, tidak dihargai dan tiada nilai. Dengan kedatangan Islam, martabat wanita diangkat sehingga wanita punya hak dan diberi tanggungjawab bertepatan dengan asal kejadiannya. Allah memilih hamba-hambaNya untuk dikurniakan kebijaksanaan. Dan kebijaksanaan itu tidak mutlak untuk lelaki sahaja. Wanita juga Allah kurniakan kebijaksanaan juga tanggungjawab kepimpinan.

Teringat dalam usrah mothers baru-baru ini apabila soal kepimpinan ini ditimbulkan. Bagi kita sebagai manusia, soal kepimpinan ini adalah isu alami, isu sejagat, isu setiap manusia. Nabi kata, setiap kita manusia adalah pemimpin. Pemimpin yang paling asas adalah memimpin diri kita sendiri. Sebagai wanita Islam, kita bukan hanya wajib memimpin diri sendiri, malah memimpin anak-anak dan masyarakat. (to be continued..)

No comments: