Wednesday, 26 December 2007

emel yang menginsafkan..

Hari ini ada satu emel yang mencuit hati. Sedih baca emel ini tapi inilah realiti yang berada di sekeliling kita sebenarnya. Sudah seminggu dua ini emel2 yang dihantar ke dalam alumni banyak menyentuh tentang produk baru yang diperlukan oleh pendakwah (dai'e) untuk dipersembahkan dan dinikmati oleh penerima dakwah (mad'u). Yang pasti, untuk memastikan keberkesanan dakwah, produk itu mestilah benar2 diperlukan oleh mad'u. Apa perlu bercakap tentang negara Islam sekiranya mad'u yang kita berhadapan tidak bersolat, mengerjakan puasa apatah lagi mengeluarkan zakat. Ramai juga yang tidak percaya kepada Allah.

Lihat sahaja diri pendakwah hari ini.. Soal solat yang diremehkan, anak-anak terabai dari kasih sayang ibu bapa yang sibuk berdakwah, jiran tetangga yang tidak dikenali, surau yang diabaikan dan banyak lagi hal-hal yang asas tidak terbuat oleh pendakwah hari ini. Sesungguhnya ini memerlukan kerja yang lebih dari pendakwah.. mungkinkah kita tidak meletakkan 'priority' ke atas kerja2 dakwah kita? Kalau negara Islam yang hendak kita capai, bagaimana rakyat yang perlu ada di dalam negara tersebut? Sama-samalah kita fikirkan..

Rabu 19 Disember 2007

Rumah ayah sudah menjadi pusat pengumpulan kotak pelbagai jenis pakaian untuk diagihkan kepada mangsa banjir, tak kira kawasan atau daerah mana, sama ada Kuantan, Maran, Temerloh atau Pekan. Semoga Allah memberkati rezeki para dermawan yang bersyukur atas nikmat-Nya.

Lebih kurang pukul 6 ptg, ayah mengajak kami anak-anak untuk ziarah mangsa banjir di Penjara Penor, Kuantan, lebih kurang setengah jam perjalanan dari rumah kami di Indera Mahkota. Tetapi, kali ini bukan untuk menghulurkan sumbangan berbentuk fizikal, tetapi sumbangan berbentuk rohani iaitu menghidupkan solat berjemaah di sana. Ayah terkilan dan kecewa kerana ramai orang sibuk dengan memberi dan diberi bantuan fizikal sehingga lalai, leka dan lupa untuk menunaikan kewajipan solat yang merupakan tiang agamanya.

Setiba di sana, ayah terus mengenakan jaket bushnya yang tertera 'JIM Pahang' di belakangnya. Kelihatan penuh dewan besar dengan mangsa banjir. Ada yang termenung, ada yang sedang berbual, ada yang baring, ada yang tidur dan ada yang berulang-alik ke bilik air. Pintu-pintu dewan habis ditutup dengan pakaian mereka yang digantung. Melihat keadaan mereka ini menjadikan kita lebih insaf dan lebih bersyukur kepada Allah.

Para petugas di sana pula ada yang sedang sibuk memasak dan menyediakan makan malam. Kelihatan juga 2 orang pegawai polis dengan pakaian seragamnya. Kami memaklumkan kepada seorang petugas bahawa kami akan mengadakan solat maghrib berjemaah di situ. Dia menunjukkan satu khemah di hadapan dewan itu dan membersihkan hamparan permaidaninya. Kemudian, dia menghulurkan kepada kami 3 biji tikar untuk dijadikan alas permaidani.

Seorang lagi petugas pula membuat pengumuman kepada orang ramai bahawa mereka boleh bersama kami untuk solat berjemaah di bawah khemah. Kemudian, kedengaran azan maghrib sayup-sayup dari sebuah masjid yang mungkin tidak jauh dari sini. Kami menunggu sehingga pukul 7.30 malam sebelum memulakan solat. Di dalam dewan, nampak seorang lelaki sedang solat seorang diri di tempatnya. Sehingga saat itu, hanya kelihatan seorang kanak-kanak sedang memimpin datuknya yang buta keluar dari dewan ke khemah solat. Pegawai polis yang berada di depan dewan pula bangun untuk mengambil wudhuk. Ramai lagi yang muda dan sihat walafiat sedang duduk berbual di khemah sebelah tidak mampu untuk berganjak ke khemah solat.

Saya pun melaungkan iqamat dan ayah menjadi imam. Selesai solat, kami pun bertakbir raya bersama-sama. Memang rasa lain macam kerana bertakbir bersama mangsa banjir di sini. Yang menjadi makmum hanya saya, 2 orang adik saya, datuk yang buta, seorang pegawai polis dan seorang lagi petugas serta seorang makmum wanita.

Walaupun dialu-alukan oleh petugas, kami mengambil keputusan untuk tidak meneruskan solat Isyak berjemaah di sana. Kami sudah menjalankan dakwah 'bil hal' secara baik untuk mengajak orang menunaikan solat tanpa mengecam dan mengutuk mereka. Kami sudah tahu tahap dan peringkat dakwah yang bagaimana perlu kami sampaikan kepada mereka. Kami sudah tahu apa keperluan dakwah mereka.

Mereka bukan perlukan perkara-perkara agama yang nampak hebat dan canggih serta pelik-pelik yang kadang-kadang kita boleh lihat dan dengar dari pelbagai majlis dan program agama dan dakwah. Mereka hanya perlukan benda asas! Ya! Rumah mereka tiada tiang, macam mana nak bina dinding dan letak bumbung kalau tiada tiang! Sampai di rumah, kami masing-masing berfikir, bermenung dan bermuhasabah. Solat merupakan agenda dakwah yang paling utama. Tidak perlu berikan agenda dakwah yang lain kalau solat tidak dibereskan. Pendakwah perlu bijak dalam mengenal pasti apa keperluan dakwah masyarakatnya.

Nazri Samsudin,
Catatan penuh di www.mendidik. blogspot. com

Gambar dan catatan bantuan banjir DERU JIM Pahang di:http://derujimpahan g07.blogspot. com/

No comments: