Wednesday, 5 November 2008

Updates.. My Life

Saya akui saya memang sibuk akhir-akhir ini. Banyak perkara yang saya hendak, sedang dan akan lakukan. Susah juga hendak meletakkan kepentingan ke atas sesuatu perkara. Lebih-lebih lagi bila masa yang ada tidak pandai di susun menyebabkan ketiadaan masa untuk berhenti, merenung, menilai dan membuat keputusan sebaiknya.

Ada rakan-rakan yang bertanyakan perihal Taska saya. Baru-baru ini saya buat keputusan untuk samada jual atau tutup sahaja. Kenapa? Kerana saya rasa sangat-sangat bersalah kepada kanak-kanak di taska itu. Saya tidak dapat memberikan yang terbaik buat mereka.

Saya kepenatan menguruskan anak-anak sendiri seramai 6 orang. Kakak darjah 5 dan abang ngah darjah 3. Mereka, saya hantar ke SRI Al Qari di Chicha. Manakala Aisyah, darjah 1, dengan kesungguhan baba, saya hantar ke SRJK Peir Chei. Zaed, 5 tahun, pula saya hantar ke Tadika Tengku Anis kelolaan YIK di belakang masjid Telipot. Tinggal Anum, 3 tahun feb tahun hadapan, dan Aleesya, 1 tahun bersama-sama saya di taska.

Pagi saya bertugas sebagai drebar anak-anak. Sebelum ke taska pula, saya buat kerja-kerja rumah yang mana sempat. Selalunya basuh baju. Bayangkan 8 orang dalam keluarga, dalam masa 1 hari berapa helai pakaian yang digunakan. Bayangkan pula jika saya tidak membasuh pakaian 1 hari, berapa helai pula yang akan saya basuh pada keesokkan harinya?

Dengan tenaga yang ada, saya menuju ke taska. Di taska, kanak-kanak seramai 11 orang beserta 2 orang pengasuh menunggu. Kami ada 3 orang bayi di bawah umur 1 tahun. Memang siksa.. Saya menghadapi masalah yang melanda mana-mana majikan, masalah pekerja. Dalam sektor perkhidmatan seperti taska ini, memang susah hendak mencari orang yang sanggup mengasuh kanak-kanak kecil. Lebih-lebih lagi di Kota Bharu ini. Mungkin ada, cuma saya sahaja yang tidak bertemu.

Di atas sayalah urusan taska ini, dari melakukan aktiviti bersama-sama kanak-kanak besar (3-4 tahun) hinggalah kepada memandikan bayi berumur 2 bulan. Alhamdulilah 2 orang pekerja yang saya ada setakat ini adalah antara yang paling lama telah bekerja dengan saya, 6 bulan. Sebelum ini, setiap 3 bulan bertukar pengasuh. Bayangkan keadaan anak-anak kecil itu, yang mengharapkan kasih sayang dan perhatian.. Aduh.. saya sedikit kecewa. Kecewa kerana tidak dapat memberikan yang terbaik kepada mereka. Merasa bersalah, itu yang lebih tepat. Namun saya terpaksa akui, saya hanya seorang manusia biasa. Saya punya kelemahan dan keterbatasan yang memungkinkan saya ini menjadi manusia normal.



Dalam kesibukan itu, masih juga mencari-cari masa untuk membantu perniagaan suami. Taska saya buka pada September, 2007. Februari 2008, suami membeli Islah, pusat heamodialisis di Wakaf Che yeh. Saya boleh sahaja menumpukan perhatian dan tenaga saya kepada taska tetapi pada masa yang sama, saya juga merasakan kewajipan saya membantu perniagaan suami. Jadi kini saya berulang-alik rumah-sekolah anak-anak-taska-Islah.. Letih, memang meletihkan. Tapi itukan hakikat hidup.

Hidup tempat beramal. Hidup tempat bercucuk tanam amalan. Hasilnya di tuai kelak di Akhirat.. Semuga segala yang saya lakukan ini diterima Allah sebagai amalan yang soleh. Saya berdoa semuga saya sabar dalam melakukan segalanya. Sehingga hari ini, taska masih beroperasi seperti biasa. Cuma saya sedang berusaha untuk mendapatkan seorang lagi pengasuh, atau mungkin sahaja seorang rakan kongsi yang dapat menguruskan taska dengan lebih baik dan berkesan.. Wallahu'alam. Doakan saya...

No comments: