Alhamdulilah, semalam berkesempatan bertemu dengan seorang bekas pimpinan muslimat yang ku kira begitu komited dengan kerja2 amal islami. Biarpun kini dia bukanlah pimpinan, namun tokoh ini antara orang yang aku hormati berdasarkan ilmu dan pengalaman2 yang ada padanya.
Pada mulanya kami berjanji untuk bertemu di Hari Terbuka SUK, sekadar menemaninya bertemu dengan sahabat2 yang lain. Selepas perut diisi, kami berkesempatan berbicara dan bertukar2 pandangan di kediaman yang ditumpanginya. Kebanyakan bicara itu berkaitan dengan apa yang berlaku disekeliling kami, yang amat berkait dengan perbicaraan saudara kita di dalam artikelnya yang ku baca tengahari ini.
DARI http://www.harakahdaily.net/bm/index.php/arkib-menongkah-arus/tiada-kompromi-isu-isu-akhlak-dalam-kepemimpinan-pas.html
Tiada kompromi isu-isu akhlak dalam kepemimpinan PAS
Roslan Shahir Sat Oct 20, 07 10:34:50 am MYT
Setiap kali apabila sahaja diundang untuk memberikan ceramah atau kursus oleh mana-mana peringkat dalam parti, saya akan selalu tekankan betapa perbezaan utama, selain ideologi, antara PAS dan Umno adalah pada saf pimpinan yang dilahirkan.
Umno dan PAS melahirkan ramai pemimpin daripada pelbagai latar belakang, sama ada agama, profesional, separa profesional dan lain-lain. Tetapi kualiti pemimpin yang lahir, yang mungkin daripada kelompok yang sama, tetapi apabila terbit dari perut PAS, ia seharusnya berbeza daripada yang dilahirkan Umno.
Pemimpin PAS berdiri di tengah masyarakat sebagai pemimpin gerakan Islam. Pengharapan terhadap seorang pemimpin seumpama ini jauh berbeza dengan pemimpin yang dilahirkan untuk Umno atau mana-mana rakan komponan Umno dalam BN.
Sebagai pemimpin gerakan Islam sama ada daripada serendah-rendah peringkat di cawangan atau kawasan atau negeri, lebih-lebih lagi di pusat, sudah pastilah pertamanya akhlak pemimpin tadi perlu baik di luar dan dalam.
Tidak cukup dengan akhlak dan perwatakan yang baik, ia juga mestilah seorang pemimpin yang efektif dan efisyen. Tidak curi tulang, tidak menipu, apalagi rasuah dan tercebur dengan maksiat.
Sama ada ia seorang ulama atau profesional atau apa sekalipun, apabila diberi amanah ia akan patuh dan tidak khianat. Ia bekerja untuk parti dan masyarakat kerana Allah.
Sudah pastilah daripada pengalaman, kriteria-kriteria ini jika pun ada sedikit sebanyak dalam parti lain tetapi ia tidaklah begitu ditekankan sangat sebagaimana dalam PAS yang mewajibkan kehadirannya setiap detik dan masa, dan kegagalan memperlihatkannya bermakna pemimpin tadi telah gagal dan perlu berundur atau diundurkan.
Bukan atas populariti
Justeru, dalam parti lain, jika ada pemimpin yang kotor, yang hodoh atau yang tempang namun jika ia popular maka ia mungkin terus kekal kerana ia dinaikkan semata-mata atas popularitinya itu (tambahan yang naik dengan sogokan) dan tidak ada kena mengena dengan apa syarat dan keperluan syarak sekalipun.
Hasil daripada tingginya tuntutan syarak inilah, maka umpamanya dalam Tragedi Batu Burok baru-baru ini, apabila ada gambar individu yang sedang membakar bendera kebangsaan, Jalur Gemilang, satu tindakan yang biadap dan tidak patriotik itu maka terus sahaja dikeluarkan kenyataan agar pihak polis menyiasat dan mengesahkan gambar tersebut.
Jika perlu atas apa kesalahan sekalipun, maka mereka itu perlu diambil tindakan. Dan jika ia ahli PAS, sewajarnya ia juga diambil tindakan kerana tindakan itu jelas bertentangan dengan akhlak dan disiplin Islam.
Membakar bendera (negara sendiri), kata Presiden PAS, dalam temuramah dengan Reuters, bukan kerja orang PAS.
Baru-baru ini saya ditegur oleh seorang rakan berkenaan suatu artikel saya yang menonjolkan apa yang dikatakan Istana Zakaria Md Deros, di Pandamaran, Kelang (bukan dalam siri Menongkah Arus ini). Kata rakan tadi, ada orang PAS yang belum pun menjadi wakil rakyat tetapi telah memiliki istana yang tidak kurang juga besarnya sebagaimana Istana Zakaria itu.
Lalu saya berkata, jika ia dibina atas hasil yang bertentangan dengan syarak, maka sila dedahkan individu berkenaan, kerana ternyata jika benar, ia tidak layak untuk duduk dalam gerakan Islam PAS ini dan sewajarnya tidak dilindungi dan perlu diambil tindakan.
Islam tidak memberikan pengecualian atau kekebalan kepada mana-mana pihak, hatta sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. "jika anak kuFatimah yang mencuri akan kupotong tangannya."
Seorang rakan penulis yang lain pula mendedahkan dalam blognya berkenaan seorang wakil rakyat PAS yang dikatakan tidak menjalankan tugasnya sebagai seorang wakil rakyat, satu tuduhan yang berat.
Saya dapati jentera parti di kawasan berkenaan telah pun menjawab bagi pihak ADUN berkenaan bahawa tuduhan itu tidak benar, namun penulis tadi tetap bertegas dengan tuduhannya.
Dalam hal ini juga, siasatan perlu dibuat, benar atau tidak tuduhan itu, kerana ia serius. Jika benar, ADUN tadi wajib diambil tindakan oleh parti dan kerajaan negeri kerana itulah tuntutan Islam, tetapi jika tidak berasas, disiplin Islam menuntut penulis tadi meminta maaf, jika tidak dia pula wajar diambil tindakan.
Kepentingan akhlak
Ketegasan Islam terhadap akhlak dan moral pemimpinnya begitu jelas dan tidak boleh ditawar-menawar oleh sesiapa pun. Inilah yang telah menarik hati banyak pihak terhadap kepimpinan Islam sejak dari zaman Rasulullah, sehingga bila-bila.
PAS telah dan akan bangkit ke tengah masyarakat untuk menerangkan, dalam serba kekangan, bahawa jenis pemimpin yang akan lahir dari parti ini adalah yang baik dan berakhlak tinggi seumpama ini serta memiliki kemampuan memimpin masyarakat dan negara dengan berjaya dan cemerlang, bukan hanya di dunia tetapi lebih-lebih lagi dengan izin Allah di akhirat kelak.
Lantas parti dan jemaah berhak memastikan, yang cuma yang demikian sahaja kualitinya nanti bakal naik sama ada di peringkat cawangan, kawasan, negeri atau pusat, lebih-lebih lagi sebagai calon untuk dikemukakan kepada rakyat dalam pilihan raya nanti. Kerana hanya itulah sesungguhnya yang membezakan antara pemimpin kita dengan pemimpin yang lain.
Roslan Shahir bin Dato' Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS
No comments:
Post a Comment