'..Pada hari ini telah aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamaMu..' Surah Al Maidah, ayat 3.
Sesungguhnya ayat ini menjadi bukti kesempurnaan agama islam yang suci yang telah diturunkan oleh Khaliq alam ini kepada makhluk yang serba kekurangan. Maka sebagai hamba yang dilantik sebagai khalifah di atas muka bumi ini, sewajibnya kita berpegang teguh kepada ayat ini.
Seperti sebuah peti TV yang diciptakan oleh manusia, setiap pembeli bagi setiap unit akan dibekalkan bersama buku panduan atau manual bagaimana untuk mengendalikan alat tersebut dengan baik dan betul. Sungguhpun demikian, masih ramai pembeli yang membawa balik alat tersebut tidak mengendahkan buku manual tersebut. Buku tersebut hanya ditinggalkan di dalam kotak setelah alat dikeluarkan. Lalu dipicit dan ditekan peti TV tersebut. Kalau hidup, gembiralah si pembeli, tuan kepada alat tersebut. Kalau tidak ada bunyi ataupun gambar, mulalah terkial2 si pembeli mencari manual untuk dibaca.
Begitu juga dalam kehidupan kita sebagai manusia hari ini. Adanya Al Quran menjadi panduan dan rujukan buat setiap perkara dalam kehidupan kita. Segalanya telah Allah sediakan panduan, mahukan yang lebih detail pula rujuklah kepada hadis dan sunnah Rasulullah saw. Sayangnya umat akhir zaman semakin jauh dari buku manual ini. Kebanyakkan memilih untuk tidak langsung membuat rujukan kepada manual tersebut. Sebahagian pula hanya menggunakan rujukan apabila timbul masalah. Sedangkan yang sepatutnya, seperti pembelian peti TV tadi, manual perlu dibaca sebelum berbuat apa2 kepada peti TV tersebut. Ini akan memberi gambaran yang jelas tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan terhadap peti TV tersebut.
Ada pula manusia yang yakin akan kebenaran buku manual yang diturunkan oleh Khaliq alam ini. Sayangnya, separuh diambil dan separuh lagi ditinggalkan. Ada yang secara terang-terangan menolak sebahagian yang mereka tidak suka, seperti menolak perlaksanaan hudud yang telah disebutkan di dalam Alquran, dan menolak pemakaian tudung sebagai kewajipan kepada wanita muslim. Ada yang secara sembunyi2 menolak hukum Allah, seperti perintah Allah di dalam surah An nur ayat 31,'Katakanlah kepada wanita-wanita mukmin, tundukkanlah pandangan mereka dan peliharalah kemaluan mereka, yang demikian itu adalah lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu semua kerjakan.(31) Dan Katakanlah juga kepada lelaki-lelaki mukmin tundukkanlah pandangan mereka…”
Sesungguhnya yang secara sembunyi2 menolak hukum Allah ini adalah lebih bahaya daripada mereka yang terang-terangan menolak hukum Allah. Pada zaman ultra moden yang sungguh mencabar, dengan kepesatan teknologi maklumat di merata tempat telah membawa perubahan kepada pemikiran dan perlakuan manusia hari ini. Ramai yang mengakui diri sebagai orang alim yang berilmu, mahu pula orang menggelar mereka dengan berbagai2 gelaran hanya untuk menunjukkan kepada manusia lain tentang kelebihan ilmu yang ada pada mereka. Tidak sedikit di antara orang yang digelar berilmu ini yang mahu mengamalkan ilmu yang mereka ada. Cukuplah dengan mengajarnya kepada orang lain, sedang diri sendiri merasa cukup hanya dengan ilmu yang dipunyai.
Rasululullah merupakan guru yang terbaik dikalangan guru2 yang ada. Baginda bukan sahaja mengajar dengan mulut dan perkataan, malah dengan perlakuan dan perbuatan. Gelaran the walking Al Quran amat tepat dengan apa yang dilakukan oleh baginda. Hari ini, kebanyakan kita punya ilmu yang hanya di simpan di dalam buku2. Apabila mahu digunakan barulah dilakukan rujukan, itupun tidak detail dan kadang2 tanpa cuba untuk membuat rujukan lanjutan. Cukuplah dengan sekadar yang ada.
Melihat kepada masalah sosial yang berlaku kepada masyarakat kita hari ini, kita hanya dapat menyelesaikannya dengan jalan kembali kepada fitrah manusia yang berkehendakkan hukum Allah. Dari masalah remaja seperti mat rempit, anak luar nikah, sumbang mahram, dadah hinggalah kepada masalah yang melibatkan orang atasan seperti rasuah dan salah guna kuasa, kesemuanya telah Allah gariskan langkah2 pencegahan dan pengawalan sehinggalah kepada penghukuman.
Ketika kerajaan Tony Blair mula2 menang mengalahkan parti Conservative, dia telah memperkenalkan satu polisi yang di kenali sebagai 'Back to Basic'. Kalau di analisa dasar yang cuba hendak dilaksanakan di United Kingdom pada ketika itu, ianya amat bertepatan dengan Islam.. iaitu kembali kepada fitrah. Masalah2 yang timbul hari ini adalah hasil dari ketidakmahuan manusia mengikut hukum fitrah ketentuan Ilahi.
Yang paling asas ialah menjaga tempat dimana letaknya iman dan kemahuan iaitulah seketul daging yang terdapat dalam diri manusia, yang mana telah disabdakan oleh Rasulullah saw, seandainya daging itu baik, baiklah seluruh anggota tubuh tetapi sekiranya sebaliknya, maka akan rosak binasalah seluruh tubuh. Itulah yang dinamakan HATI.
Kalau dianalisa masalah2 sosial hari ini, semuanya berpunca dari kegagalan manusia mendidik hati mereka sendiri. Ramai yang yakin akan adanya Allah, maka bersolatlah mereka 5 kali sehari. Tetapi masih ramai yang bersolat ini tidak menutup aurat, tidak menjaga pandangan, tidak malu2 berpegangan tangan dengan yang bukan mahram. Ini kerana hati tidak dihadirkan di dalam solat, makanya kesan solat yang Allah sebutkan dalam Al Quran yang dapat menjauhkan manusia dari berbuat mungkar tidak akan berjaya..
'Ya Allah, bantulah kami mendidik hati2 kami agar menjadi hati yang sejahtera. Berilah kami kekuatan dalam mendidik hati2 kami untuk menjauhi kemungkaran. Jadikanlah hati2 kami hati2 yang sentiasa mengingatiMu.. Satukanlah hati2 kami untuk memikul beban dakwahMu.. Ameen ya Rabbal Alamin.'
No comments:
Post a Comment