Monday, 6 August 2007

Think win-win

Berjalan ke bandar KB semalam sempat menyinggahkan diri ke Jaafar Rawwas. Niat di hati nak belikan kakak Quran yang kecik sket saiznya untuk di bawa ke sekolah. Alhamdulilah, bukan setakat senaskah Al Quran, beli juga senaskah terjemahan Al Quran dalam bahasa Malaysia bersaiz kecil, beberapa buah majalah buat jantung2 hatiku di rumah beserta sebuah buku yang amat menarik tajuknya 'POLIGAMI:MENGAPA GEGER.' Tertarik untuk membaca lebih lanjut setelah melihatkan kata-kata aluan buku di tulis oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang hamba Allah yang aku hormati.

Pagi ini berkesempatan menatap blog milik seorang sahabat, dengan tajuk yang amat menarik hatiku. Tajuk ini katanya merupakan habit ke 4 dalam buku 7 habits yang sohor itu. Ia membuatkan aku terpikir sendiri.. Semenjak kebelakangan ini, topik ini agak mengganggu perjalanan hidupku.

Poligami.. mana ada wanita yang tidak tersentak dengan perkataan ini. Ya, bukan sahaja wanita.. lelaki juga sama. Si lelaki akan tersenyum lebar manakala si wanita akan muncung 14. Telah sekian lama aku cuba merasionalkan diri ini dengan perkataan itu. Aku sebagai wanita yang bergelar isteri, tidak boleh menafikan jauh disudut hati biarlah ianya tidak berlaku kepada kepadaku. Namun sebagai manusia biasa, tiada kehidupan rumahtangga yang dapat lari dari mengalami gangguan ini.

Aku cuba mencari2 positifnya anjuran Islam ini. Betul kata Ust Has, kehidupan hari ini sangat bertumpu kepada win-lose situation yang menyebabkan manusia hari ini tidak bebas berfikir secara positif terhadap semua perkara. Yang kuat akan berkuasa dan yang lemah akan terus ditidas atau sekurang-kurangnya merasa diri tertindas. Bukan aku tak tau kelebihan berpoligami. Aku amat yakin, anjuran Islam itu punya banyak kebaikan.. tapi hari ini, orang yang bercakap Islam tidak ramai yang berkelakuan Islam. Itu yang menakutkan dan menghantui diri ini...

Iman yang turun naik akan menyebabkan manusia akan sentiasa berhadapan dengan masalah2 yang mereka sendiri cipta. Ketika iman naik, segala yang dilihat adalah positif dan cabaran yang harus diselesaikan dengan baik dan menurut Islam. Mungkin sampai ke taraf berkelakuan seperti malaikat.

Tapi bila iman merudum, manusia yang tadinya berkelakuan malaikat akan berubah rupa dan sifat menjadi syaithan yang tidak kenal ketinggian Khaliqnya. Segalanya dilihat negatif dan seolah-olah mahu memusnahkan dan dimusnahkan..

Persoalan yang aku timbulkan, suami minta isteri berkorban dan dalam hal ini pengorbanan yang diminta terlalu tinggi nilainya iaitu berkorban perasaan. Dan aku diingatkan bahawa bukan perasaan isteri pertama sahaja yang dikorbankan, malah bakal isteri kedua pun telah mengorbankan perasaannya demi menerima bakal suami yang merupakan suami orang. Namun sebagai manusia, segala yg kita lakukan kita akan pasti mahu melihat balasannya. Memang tidak dinafikan sekiranya aku sabar dan redha sudah pasti ganjaran dan balasan dari Allah itu lebih, selebih2nya. Tapi aku manusia.. Aku mahu pengorbanan yang sungguh tinggi nilainya itu tadi berbaloi di dunia ini.. Apa perlunya kasih sayang yang melimpah ruah tetapi perlu dikongsi dan dibahagi2kan.. sudah pasti bagiku itu tidak berbaloi dengan pengorbanan yang dituntut dari aku seorang isteri... Aku mahu jawapan kepada persoalanku.. Apa yang aku dapat dengan pengorbanan yang terlalu tinggi nilainya itu???

Masa yang ada pada suamiku begitu terhad. Namun masih ada ruang untuk dia memikirkan untuk menambah akan tanggungjawab dan amanah yang sedia ada. Di mana ruang untuk anak-anak bermanja? Mereka semakin membesar dan aku pula berterusan membesarkan anak2 seolah-olah aku ini ibu tunggal. Apakah setelah aku menerima isteri kedua suamiku, kehidupanku akan berubah? Atau anak-anakku semakin jauh dari babanya.. Aku pula semakin terpinggir, tiada tempat berkongsi masalah.. sebaliknya hanya memendam segala gundah gulana di hati..

Ya Allah, aku pasrah dan redha. Sekiranya itulah takdir yang telah kau tetapkan buat aku dan keluarga.. aku pasrah. Di sebalik derita pasti akan ada gembira. Engkau yang menetapkan setiap kejadian, Engkau jugalah yang membebaskan setiap permasalahan.. Aku redha Ya Allah.

No comments: