Tuesday 31 July 2007

Erti Hidup pada memberi

Memang tak dapat dinafikan, aku salah seorang peminat web yang menggunakan tema ini. Banyak yang dapat aku pelajari dengan melawat web ini dan aku yakin ramai di luar sana yang bersependapat denganku. Apa yang hendak dicoretkan hari ni tiada kaitan secara langsung dengan kandungan web tersebut. Cumanya aku suka nak meminjam tema yang digunakan.. erti hidup pada memberi.

Lebih kurang 14 tahun yang lalu, sewaktu mula-mula tiba di bumi UK.. aku seperti kebanyakan rakan2 yang lain.. huha sana sini, suka lepak, pandai berpakwe. Tapi semua itu berubah Alhamdulilah sebaik sahaja aku menyertai kawan-kawan yang suka bertamrin dan berusrah. Aku akui, aku tidaklah secerdik kebanyakan orang yang mendapat tawaran belajar di luar negara. Tetapi sehingga hari ni aku dapati itulah hikmahnya.. Allah sayangkan diri ini. Dibawanya aku ke negara orang, menjadikan aku hamba yang mencari2 sesuatu untuk berpaut ketika tergapai2 mencari sesuatu ketika hanyut dalam kehidupan. Alhamdulilah, syukurku tak terhingga.. Allah sayangkan aku dan sahabat2 yang bersama2 denganku ketika itu.. Kami ditemukan dalam keadaan masing2 cuba menggapai sesuatu dan gapaian kami mengena pada dahan yang sangat ampuh untuk menyelamatkan kami di dunia dan harapnya sehingga Akhirat.

Sungguh keras hati ini, sekali sudah ku gapai.. tak mahu kulepaskan dahan tersebut. Lantas aku diuji.. Kekasih dunia atau kekasih Akhirat. Dia hadir dalam hidup ku semasa aku dibangku sekolah rendah lagi. Aku tak pernah merasakan bahawa dia akan membalas kasihku sehinggalah saat aku mula berpaut pada dahan yang sangat ampuh itu tadi. Allah menguji aku, yang mana jadi pilihanku.. Aku nekad. Biarlah ku buang segala macam ancaman yang bisa menggoyangkan pegangan ku pada pautanku tadi. Aku pasrah memilih cinta Tuhan berbanding cinta manusia.. Itu 14 tahun yang lalu..

Masuk tahun ke3 aku di bumi UK itu, aku diuji lagi.. Kali ini kefahamanku, muslimat tidak sepatutnya berjalan jauh tanpa muhrim dan kedudukan wanita itu akan tinggi apabila bergelar isteri. Aku jadi runsing.. Mana bisa dihimpun 2 cinta dalam satu hati.. Alunan nasyid the Zikr benar2 membuatkan aku dalam dilema. Namun aku pasrah, kerana perkahwinan itu sunnah. Maka aku nekad untuk meneruskan perjalanan hidup dengan status isteri. Ku pilih suamiku bukan kerana cinta. Aku pertaruhkan keputusan memilih dia selepas beberapa kali solat Istikharah. Kami tidak mengenali hati budi masing2 sebelum kami berkahwin. Segala2nya kami harungi selepas berkahwin. Membuat keputusan untuk berkahwin pada bulan Disember 1995, kami bertunang pada penghujung Jun dan nikah pada 17 Ogos 1996.

Tahun ini akan masuk tahun ke11 umur perkahwinan kami. Insya Allah, awal Disember ini aku bakal melahirkan anak kami yang ke6. Telah kami lalui bersama pahit manis, suka duka dalam kehidupan berkeluarga. Aku hargai pengalaman yang Allah berikan, bergelar ummi sewaktu masih dibangku universiti lagi. Kenangan sebagai isteri seorang pelajar, dari seorang anak kepada 2. Tamatnya suami dengan gelaran doktor bersama 2 sijil kelahiran anak. Semuanya ku terima dengan redha.. Memang, bukan mudah mengharung hidup berkeluarga. Terlalu banyak cabaran dan rintangan.. Namun Alhamdulilah, tahun ini masuk tahun yang ke11.

Kalau dikira umur manusia, 11 tahun ini masih dizaman kanak-kanak. Awal remaja kukira.. Semakin meningkat dewasa, semakin mencabar pula ujian dan rintangan. Biarpun bersama kedewasaan itu terdapat sedikit kematangan, namun kanak-kanak masih di kira kanak-kanak. Masih perlu bimbingan orang lebih dewasa, masih belum bijak membuat keputusan.. Namun tema blog sahabat ini terlalu memberi kesan kepada diri kerdil ini..

Ada satu entry yang kubaca, dimana dikaitkan erti hidup pada memberi dengan kehidupan berumahtangga. Tapi itu pandangan seorang suami.. Bagaimana pula pandangan seorang isteri.. Apa erti hidup pada memberi dalam kehidupan suami isteri dari kacamata isteri...?

Aku muhasabah diri sendiri.. Di saat2 aku membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga, aku membuat keputusan memilih cinta Allah melalui cinta manusia. Redha Allah apabila suami redha. Aku pasrah dalam memilih walau ku tahu, manusia biasa tidak berkuasa mengumpul 2 cinta dalam satu hati. Aku memilih untuk berusaha ke arah itu.. Aku berusaha untuk mendapat cinta Allah dengan menyatukan cinta pada manusia.. Dalam banyak keadaan, aku gagal.. Aku selalu meletakkan cinta terhadap insan itu melebihi cinta terhadap Khaliq.

Alhamdulilah, ku kira Allah masih tetap sayang pada ku walau beribu dosa yang kulakukan. Allah izinkan aku menjadi tetamunya di tanah suci Mekah, dan ini merupakan kenangan termanisku dalam kehidupan berumahtangga. Syukurku tak terucap.. pada suamiku dan juga pada Allah yang sudi menerimaku.. Januari 2004, bulan keramat bagiku.. Mengingat inilah, syukurku tak berkesudahan kerana Allah mengurniakan aku seorang suami yang bertanggungjawab. Kami sama-sama manusia biasa, tidak jauh dari melakukan dosa dan maksiat, namun rahmat Allah ada bersama apabila kita yakin bahawa asas kepada keharmonian rumahtangga itu terletak kepada keredhaan Allah.

Kini aku teruji lagi.. Dimanakah kesetiaanku sebagai seorang isteri? Aku dipersimpangan.. Aku perlu membuat keputusan dan memilih antara cinta Allah dan cinta pada manusia.. Sungguh, Al Quran telah menyebut, dan aku tidak pernah mahu menolaknya.. Diizinkan keatas seorang lelaki itu berkahwin 4, 3, 2 dan jika tidak mampu cukuplah 1.. Arghh aku tersepit kali ini..

Erti hidup pada memberi dari kacamata seorang isteri.. salahkah jika aku katakan, membenarkan suami berpoligami? Akukah yang berkata2 ini atau siapa? Terus terang aku katakan, memang setelah pulang dari kota suci itu aku mencari2 semula diriku. Dalam banyak masa, aku kehilangan aku yang sebenar. Tewas dengan pujukan dunia.. terlalu memanjakan diri dengan kemewahan dan rahmat Allah yang sedia ada. Namun ada ketika2 aku diuji, aku pulangkan semula diriku kepada empunya hati manusia. Di situ ku temui kedamaian, ketenangan, kekuatan dan kesabaran.. Allah sayang pada ku.

Aku pasrah.. Mungkin ini caranya Allah mahu mengambilku semula.. Allah cemburu kepadaku.. Dia mahu kupulangkan diri, kasih sayang dan perhatianku kepadaNya semula. Andai itulah hikmah yang tersembunyi, siapa yang tidak mahu.. Teringat kata2 seseorang, wanita yang redha suami berpoligami bakal dipayungi payung emas di syurga.. Sudahlah berada di syurga, di bawah payung emas pula.. siapa yang tidak mahu. Tapi, layakkah aku?

Ketika dan saat ini, aku merasa begitu dekat dengan Allah. Aku dapat rasa akan kehadirannya dalam diri ini melalui ketenangan dan kedamaianku ketika ini.. Tapi manusia biasa ini tidak bisa berada di tahap ini sepanjang masa.. Apa akan jadi diwaktu iman ku merudum? Di waktu aku terasa jauh dari rahmat Allah? Aku tidak mahu menjadi isteri yang nusyuz..

Ya Allah berikan aku kekuatan.. tunjukkan hambamu ini jalan kebenaran. Ujilah hambamu ini dengan ujian yang tertanggung oleh ku ya Allah.. Pada mu sahajalah ku pohonkan pimpinan.. Tuhan yang Maha Berkuasa yang memiliki Arasy yang tinggi.. Kasihanilah hambamu ini. Bantulah aku, ya Tuhanku..

1 comment:

serikandi said...

so, do you think what i am thinking now about both of you is true? awak ada **** ke?