Thursday, 5 July 2007

Pasrah

Letih.. hari ini memang meletihkan. Tapi sebenarnya hari-hari lain pun letih juga. Cuma lainnya hari ini sebab hati tidak tenang. Bila badan penat, otak banyak memikir, di tambah dengan hati yang sakit.. maka bertambahlah keletihan hari tersebut..
Kira-kira sudah 9 tahun meninggalkan alam kampus. Tahun ini tahun ke-11 berkeluarga. Status isteri dan ibu sudah 2-digit tahun disandang. Kira2 masih setahun jagung, kata orang. Memang tak nafi, tanggungjawab isteri dan ibu datang dahulu dari tanggungjawab yang lain. Cuma kadang-kadang tanggungjawab ini disalah erti.Pada setengah orang tanggungjawab isteri bukan sahaja pada melayan batin suami, tapi juga menjaga kain baju keluarga, persekitaran rumah, memastikan keperluan keluarga terjaga dan mencukupi. Bagi si ibu pula, tanggungjawab bukan terhenti dalam mendidik moral dan rohani anak tetapi perlu memastikan anak dikendong sentiasa ke mana sahaja si ibu pergi. Kalau ditinggalkan si ibu yang mesti memastikan kebajikan anak-anak. Benarkah?
Memang aku bukan mengaji ugama. Aku bukan ustazah.. aku juga bukan anak tok syeikh, yang menghafal 30 juzu' Al Quran.. memang aku jahil.. yang pasti aku hanya manusia biasa. Biarlah aku tak jadi ustazah, bimbang2 ilmu yang dipelajari tidak dapat dipraktikkan dalam kehidupan. Dah molek Allah jadikan aku adalah aku... Biarlah seburuk mana pun aku, masih ada kesedaran yang tertanam dalam diri untuk cuba menjadi yang lebih baik, baik dari segi ilmunya mahupun pengamalannya. Rasanya masih ada kekuatan dalam diri untuk sentiasa menuju kearah kebaikan, biarpun penafsiran terhadap kebaikan itu bermacam-macam.
Dalam banyak hal, telinga ini mampu untuk menebalkan dirinya. Tetapi kadang-kadang telinga ini tewas juga, menyebabkan apa yang menembusinya akan terus disampaikan ke hati. Maka apabila hati yang membuat pertimbangan, akan rosak binasalah amalan kerana tidak ditapis dahulu oleh aqal. Ketika telinga menebalkan diri, aqal mampu berfungsi. Tetapi apabila telinga tewas, batang tubuh ini tidak terdaya menahan akibatnya... Aku pasrah!!!
Tidak ada wanita yang mengaku Allah itu Tuhan tidak mengimpikan menjadi isteri yang solehah. Tidak ada juga yang mahu menolak gelaran ibu mithali.. Tetapi untuk mencapai keduanya, harus tabah & sabar melalui proses penapisan dan pembersihan.. Mampukah aku?

No comments: