Saturday, 25 October 2008

Selepas lebih seminggu..

Bertemu kembali selepas entri terakhir bertarikh 13 Oktober 2008. Tidak dinafikan, meletakkan kepentingan menyebabkan menaip entri ke dalam blog jatuh ke tangga yang entah ke berapa selepas tugas menyelesaikan kerja-kerja rumah, kerja-kerja berkaitan suami dan anak-anak juga kerja-kerja berkaitan taska. Itulah hidupku, seorang isteri, ibu, pemilik taska dan akhirnya sebagai seorang ahli masyarakat. Sesungguhnya yang dahulu, perlu didahulukan. Yang kemudian wajib datang kemudian. Walaupun yang kemudian itu yang paling disukai. Realiti..

Hidup dalam realiti ini memang susah. Susah kerana ianya menghilangkan kesempurnaan. Bila yang namanya manusia, sentiasa melihat dengan pandangan yang sempurna. Lupa akan diri yang penuh dengan kekurangan. Bila kita lupa yang kita ini banyak kelemahan, sentiasa lebih baik daripada orang lain, maka mata kita akan sentiasa dilambakkan dengan kelemahan dan kekurangan orang lain. Bila kita sentiasa melihat kebaikan dan kelebihan kita, maka tersembunyi segala kelebihan dan kebaikan orang lain kepada kita.

Itulah realiti. Cuba-cubalah intai kelemahan diri. Kelak kita akan nampak kelebihan orang lain. Bila kita nampak kekurangan diri, kita akan tercari-cari kelebihan orang lain untuk menampung kekurangan yang ada pada kita. Tetapi jangan sampai kekurangan yang ada pada diri kita menyebabkan kita tidak buat apa-apa. Membiarkan diri hanyut samalah seperti orang yang tidak punya harapan. Tidak punya harapan untuk menjadi orang yang lebih baik. Sesungguhnya ungkapan dari mulut Rasulullah bahawa muslim hari ini perlu jadi lebih baik daripada muslim semalam wajib dijadikan ingatan. Jadikan sebagai peniup semangat.. Ingat Allah tidak akan mengubah nasib kita. Kitalah yang mengubah nasib kita sendiri. Ini realiti.

Bila kita tak suka dengan perkara yang dibuat oleh anak kita, kita perlu lihat dalam diri kita. Adakah yang dilakukan mereka itu hasil meniru perbuatan kita sendiri? Jika benar, maka berhentilah dari melakukannya. Anak-anak akan berhenti melakukannya walaupun mungkin mengambil waktu yang lama untuk memberhentikan diri dari perbuatan tersebut.

Cuba-cubalah, apabila terlihat kekurangan orang lain, lihat dalam diri sendiri dahulu. Jangan terus dihukum orang itu. Dihukum dengan melabel. Dihukum dengan perbuatan, memukul mahupun menjauhkan diri. Sebaliknya tanyakan dalam diri, adakah mereka itu juga seperti aku? Aku seperti mereka? Mungkin YA, mungkin TIDAK.

Jika YA, perbaiki diri. Dengan itu nasihat lebih bermakna kerana kita sedar kita juga kurang seperti mereka dan kita cuba baiki diri. Hasilnya dapat dilihat dan dirasai, memaknakan sebuah nasihat.

Jika tidak, diam dan cuba memahami. Mengapa mereka itu begitu? Keadaan persekitaran? Kebiasaanya hasil didikan ibubapa. Bukan niat menghukum ibubapa, tapi sekurang-kurangnya mereka tidak dihukum atas apa yang mereka telah dibiasakan. Nasihat akan lebih bermakna jika diri si penasihat memahami masalah demi melihat jawapan permasalahan dengan lebih berkesan.

Kenapa mat rempit tidak ke ceramah agama? Kerana merasakan si penceramah tidak memahami juwa mereka. Benarkah? Jawapan kepada masalah merempit itu mungkin ada pada kasih sayang dan perhatian. Makanya yang perlu diceramahkan adalah ibubapa mereka yang bisa mejawab permasalahan mat rempit ini. Bukan begitu??

No comments: