Teringat saya kepada salah satu topic yang dibincangkan semasa saya mengikuti Kursus Awal Asuhan Kanak-kanak yang diwajibkan ke atas setiap pengusaha dan pengasuh TASKA oleh JKM. Tajuknya berbunyi, ‘Amalan Asuhan yang Menggalakkan Perkembangan Kanak2.’ Saya masih ingat penceramah tajuk tersebut, pn Salina, seorang pengusaha TASKA di Kuantan.
Di dalam ceramahnya, Pn Salina menyentuh tentang nilai dan sikap. Nilai menurutnya ialah sifat diri seseorang. Ianya abstrak, tidak boleh dilihat. Contoh nilai yang baik dan positif ialah simpati dan empati. Sikap pula adalah sesuatu yang boleh dilihat. Tingkah laku dan perbuatan itu lahir dari nilai. Tegas, berani, berdisiplin adalah contoh-contoh sikap.
Semasa perbincangan kumpulan, peserta diberikan beberapa ‘quotation’ untuk dibincangkan. Kumpulan kami mendapat ‘quotes’ berikut, ‘Akhlak yang Mulia melahirkan Akhlak yang Mulia.’
Hasil perbincangan kumpulan kami dapatlah disimpulkan seperti di bawah:
Nilai pengasuh ------> Sikap Pengasuh ---> Nilai dan Sikap Kanak2
Sabar -------> Berlemah-lembut ---> Kasih sayang
Bertolak ansur -------> Pemaaf ---> Berani.
Begitu juga kepada ibubapa. Seandainya sifat sabar dipunyai oleh ibubapa, mereka ini akan berlemah-lembut terhadap anak-anak. Hasil didikan tersebut maka lahirlah kanak-kanak yang mengerti apa itu kasih sayang dan akan sentiasa berkasih sayang terhadap sesiapa jua.
Seandainya dalam diri ibubapa tersebut ada nilai bertolak ansur, lalu diterjemahkan dalam perbuatan mereka yang sentiasa memaafkan kesilapan anak-anak, maka akan terbentuklah anak-anak yang mempunyai sifat berani. Masih ingat iklan di mana anak Wardina menumpahkan air? Di tunjukkan di dalam iklan itu, nilai tolak ansur yang ada pada diri si ibu, memaafkan perbuatan menumpahkan air anaknya. Di situ anak belajar bahawa kesilapannya itu di maafkan dan dia diberi peluang untuk memperbaiki kesilapannya. Dia menjadi berani untuk terus mencuba menuang air sendiri sehingga dia berjaya.
Ibubapa merupakan pendidik utama bagi setiap anak. Konsep pendidikan yang paling berkesan ialah dengan perbuatan. Setiap percakapan ibubapa perlulah diperkuatkan dengan perbuatan. Kanak-kanak pada umur prasekolah suka meniru perbuatan ibubapa dan pengasuh mereka. Sekiranya kanak-kanak bergaduh, ibubapa perlu mengajar anak-anak untuk berdamai dengan maaf-memaafi. Begitu juga sekiranya ibubapa tersilap melakukan kesilapan ke atas anak-anak, wajib bagi ibubapa meminta maaf kepada anak-anak agar mereka dapat mengutip pengalaman tersebut dan belajar daripada pengalaman itu.
SESUNGGUHNYA ANAK-ANAK ITU DILAHIRKAN DALAM KEADAAN BERSIH SEPUTIH KAIN, MAKA KE ATAS IBUBAPALAH YANG HENDAK MENCORAKKAN KAIN TERSEBUT...
No comments:
Post a Comment