Wednesday, 11 February 2009

are u matured?

Ingat tak hadis nabi yang maksudnya lebih kurang, ilmu itu hikmah yang hilang dari umat Islam. Nabi suruh kutip tak kira daripada cikgu mana-mana pun, samada dia melayu, cina atau india.. Samada dia Islam, Buddha, Kristian atau Hindu.. Kepercayaan kita mestilah diletakkan pada asas, ilmu itu dari Allah SWT. Ilmu yang benar, yang mengajak si penuntut ilmu mendekatkan diri kepada Yang Maha Mencipta, Maha Agung, lagi Maha Bijaksana.

Setuju, ilmu itu perlu disaring. Yang perlu ada pada
semua penuntut dan pencinta ilmu. Namun ilmu kemanusiaan itu adalah satu cabang ilmu yang universal, merentas tembok sempadan negara, bangsa dan budaya.. Pada zaman kecanggihan teknologi maklumat, orang barat menjuarai kemahiran ilmu ini. Cuma sayangnya, asas kepada ilmu itu iaitu kepercayaan kepada Yang Maha Esa masih jauh dari mereka yang bergelar juara.

Namun kita bersyukur kerana masih ada pencinta
ilmu yang teguh berpegang kepada asas ilmu itu sendiri yang menyedari hakikat ini. Maka usaha pencinta ilmu seperti inilah yang harus kita puji dan jejaki. Usaha saifulislam.com menjalin konsep syariatullah dan sunahtullah harus dipandang serius, dan sebagai pengunjung setia laman web tersebut, saya cuba untuk menjejaki usaha tersebut dalam kekurangan dan kelemahan yang ada pada saya.

Kalau sebelum ini saya diberi jolokan Mrs Gray oleh seorang sahabat kerana mulut ini seringkali mengucapkan kata-kata dan berkongsi pemahaman dari buku yang ditulis oleh John Gray, Men from Mars and Women from Venus. Kali ini mungkin akan timbul pula jolokan mrs Covey kerana saya sedang dalam proses menghadam buku yang ditulis oleh Stephen R Covey, The 7 Habits of Highly Effective People.

Saya masih lagi merangkak-rangkak menghabiskan chapter pertama buku ini. Ianya terlalu mendalam dan otak saya cuba memahami setiap bait perkataan yang dititipka di dalam muqaddimah buku tersebut. Setiap satu subtopic, saya akan berhenti dan menganalisa diri sendiri dan pengalaman hidup sendiri dan percayalah, saya mula memahami diri sendiri dan orang lain. Persoalan 'WHY' banyak dijawap oleh buku ini.

Izinkan saya berkongsi secebis ilmu yang saya kutip dari buku ini. Covey membawa saya memerhati kitaran hidup manusia. Kita dilahirkan sebagai bayi, yang terlalu bergantung kepada orang lain samada untuk makan, minum, berhibur, mandi dan segala-galanya. Pada peringkat ini kita 'DEPENDENT'. Makin usia meningkat kita mula merangkak, berjalan, berlari.. Kita boleh makan sendiri, mandi sendiri, menyuap makanan sendiri, menghiburkan hati sendiri. Kita sudah mula 'INDEPENDENT'. Namun menurut Covey, manusia tidak boleh selamanya berada pada tahap ini. Keinginan manusia untuk berkahwin, beranak-pinak, berpersatuan, bekerja dan apa2 yang kita sedang lakukan pada hari ini adalah peringkat 'INTERDEPENDENT'. Kita memerlukan orang lain untuk kita mencapai apa-apa yang kita hajati. Kita masih mampu untuk melakukan sendirian, independent.. Tapi tidak dalam jangka masa yang panjang.

Untuk memastikan kita kekal di dalam sesuatu hubungan kekeluargaan, kita perlu bertolak ansur. Perlu ada unsur 'give and take'. Perlu memaksimakan kelebihan yang dipunyai oleh pasangan da anak-anak agar kita sama-sama menikmati kebahagiaan yang berterusan. Perlu ada kepercayaan di dalam keluarga. Perlu saling tegur menegur dengan ikhlas dan dalam suasana kasih sayang ke atas kelemahan setiap ahli keluarga. Ini antara unsur INTERDEPENDENT yang Covey maksudkan.

Hari ini ramai yang bercerai kerana merasakan kebebasan mereka disekat. Begitu juga anak2 remaja yang lari dari rumah atas prinsip kebebasan. Pemimpin yang meninggalkan perjuangan mereka hanya kerana perselisihan pendapat. Mereka ini merasakan INDEPENDENT mereka tergugat. Sedangkan apa yang berlaku adalah terjemahan kepada DEPENDENTnya mereka ini dari segi emosi kepada orang lain. Mereka tidak mahu bertanggungjawab terhadap perasaan mereka sendiri. Menuduh orang lain yang bertanggungjawab terhadap perasaan mereka. Hati mereka berasa marah kerana rakan sejawatan mengkritik mereka. Hati mereka berasa sedih kerana merasakan orang lain pendapat mereka tidak dipedulikan. Sedangkan hati itu kepunyaan kita. Manusia yang INDEPENDENT sepatutnya tidak membiarkan perasaan mereka tidak dipengaruhi unsur-unsur luaran.

Covey mengatakan bahawa INTERDEPENDENT adalah ciri kematangan. Perhatikan pokok yang paling tua di sesebuah hutan.. Batang dan dahannya besar, akarnya kukuh menjunam ke bumi, daun2 merimbun. Pohon ini jadi pelindung pokok2 yang kecil. Tidak kurang juga ada pohon yang menumpang pada dahannya. Manusia yang matang adalah manusia yang punya unsur INTERDEPENDENT dalam diri mereka. Mereka tidak mementingkan diri sendiri, malah sanggup melebihkan orang lain daripada diri sendiri. Ibubapa yang matang adalah ibubapa yang mengutamakan kebajikan anak-anak lebih daripada diri mereka sendiri. Pemimpin yang matang adalah pemimpin yang meletakkan kebajikan orang bawahan melebihi kepentingan mereka sendiri.

Islam mengajar umatnya bersatu. Islam mengajar umatnya bertolak ansur. Islam mengajar umatnya bersyukur dengan kelebihan yang dimiliki tanpa menidakkan kelebihan orang lain. Malah Islam mengajar umatnya untuk sentiasa memerhatikan kebaikan yang ada pada orang lain dan berlumba2 untuk berbuat lebih baik. Islam mengajar umatnya untuk menerima pandangan orang lain walaupun pandangan sendiri dirasakan betul sekiranya pandangan kita pandangan minoriti. Islam mengajar umatnya berlapang dada menerima kritikan kerana hambanya kita yang punya kelemahan. Islam juga mengajar umatnya bermaafan dan memaafi.. Sesungguhnya Islam itu cantik. Beruntunglah mereka yang menghargai kecantikan dan memanfaatkannya untuk kebaikan diri dan orang lain.. Wallahu'alam.





1 comment:

Unknown said...

Dalam salah satu slide presentation saya, saya telah menyentuh aspek "Begin With The End In Mind".

Barangkali bahan ini dapat membantu mencambahkan pemikiran pembaca yang sedang mengikuti thread ini.

(http://notarazi.wordpress.com/2009/04/04/the-power-of-vision-melayu/)