Saturday, 20 October 2007

Selamat Hari Raya

Hari ini sudah 8 Syawal. Tajuk yang kurang relevan, namun sangat penting dijadikan bahan sejarah di blog ini. Alhamdulilah, perjalanan ke JB dari KB pada hari Rabu, 28 Ramadhan berjalan dengan lancar. Tiada kesesakan yang menyesakkan dan perjalanan bermula pukul 1 tengahari berakhir di JB lebih kurang pukul 9 malam. Aku akui kebolehan suami yang memandu seperti Damon Hill itu sungguhpun menyeksakan mata memandang namun kecekapannya tiada siapa yang dapat menafikannya. Alhamdulilah sahaja yang mampu diucapkan apabila kereta berhenti di laman rumah mak abah.

29 Ramadhan
kami sekeluarga bersama mak ke rumah along di Pasir Gudang. Dia terpaksa bekerja sehingga esok. Diminta kami membawa isterinya membeli-belah untuk juadah hari raya. Seronok anak2 tak terkata dapat bertemu sepupu2 mereka. Abang meminta isteri dan anak2 mereka ke rumah mak untuk berbuka bersama. Mak dan abah seronok melihat cucu2 berkumpul bersama. Sanggup tidak makan dahulu semata2 mahu melayan sikenit2 itu. Hakim mahu tidur di rumah atuk, sementara kakak pula mahu tidur dengan Natasya. Kakak ikut along pulang ke pasir gudang. Malam itu sempat disaksikan penyimpan mohor besar raja2 membuat pengisytiharan hari raya di kaca TV.

30 Ramadhan
Ngah dan suami sampai dari KL lebih kurang 3 pagi. Kami pula hampir2 terbabas sahur. Alhamdulilah, anak2 sempat bersahur jadi tiada alasan untuk tidak berpuasa pada hari terakhir ramadhan. Banyak juga biskut raya mak ngah. Seperti tahun2 lalu, biskut tart tidak pernah ketinggalan.
Kami ke bandar JB untuk mencari bank Muamalat. Aduh.. pening melihat jalan2 di bandar. Sudah tidak seperti.. Namun Alhamdulilah, jalan tidak jammed dengan kereta. Kami memberanikan diri untuk mengelilingi bandar JB memandangkan keadaan tidak sesak. Berhenti di Komtar, sempat membelikan anak2 songkok dan baba pula dapat samping raya. Meneruskan perjalanan ke Giant yang tidak jauh dari rumah mak. Rupa2nya telefon suami ku cicir entah di mana. Ketentuan Allah, sekiranya telefon tercicir di mana2.. halalkan sahaja kerana peluang untuk bertemu semula adalah mustahil.
JB sudah jauh berubah. Di mana-mana jalanraya, seperti KL kalau tidak yakin tidak perlulah memandu kerana akan pasti sesat. Cuma yang baiknya, tidak ada tol seperti KL. Kalau tidak, selain duit minyak kerana sesat, tambah pula dengan duit bayaran tol pergi dan balik..

Alhamdulilah, rupanya adik2ku boleh pulang ke JB pagi ini. Sepatutnya mereka dijadualkan pulang pada petang raya, namun kehendak Allah atau mungkin juga doa mak dan abah supaya kami dapat berkumpul 5 beradik lebih awal dimakbulkan. Maka berbuka puasalah kami beramai2 seolah2 makan dipagi hari raya. Terpancar kegembiraan mak dan abah.. Yelah, selepas 14 tahun baru tahun ini kami dapat berkumpul 5 beradik bersama2. Alhamdulilah..

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu AKbar
La ila ha illaula huwallahu akbar
Allahu Akbar Wallillahil hamd.

Kedengaran takbir bergema.. tiada kesedihan, hanya kegembiraan.. Kerana itulah sepatutnya. Namun bagi mereka yang hatinya sentiasa mengharap pengampunan dan keredhaan Allah sudah pastinya bersedih dengan pemergian Ramadhan. Entahkan bertemu Ramadhan yang akan datang? Bulan yang penuh dengan rahmat dan kurnia Allah.. hanya Allah sahaja yang tahu..

Bersyukur dengan nikmat yang Allah beri. Bersyukur agar ditambahi lagi.. Allah sahaja tempat mengucapkan syukur sebagai tanda berterima kasih...

SELAMAT HARI RAYA kepada semua...

Thursday, 4 October 2007

malam 23 Ramadhan

Lagu raya telah mula berkumandang di corong-corong radio. Hati jadi resah tak menentu. Orang lain sudah mula sibuk dengan persiapan raya. Baju raya, biskut raya, malah ada terdengar cerita dari anak2 kecil yang turut sama mengecat rumah, kisah yang sangat lama tidak kedengaran kerana pengalaman beraya di perantauan amat berbeza denga apa yang dialami di tanahair sendiri.

Bosan.. amat terasa akan cepatnya masa berlalu. 10 malam terakhir ramadhan dilalui dengan perasaan cemas dan bimbang. Takut2 tidak bertemu dengan malam yang penuh keberkatan yang dijanjikan Allah di setiap Ramadhan.

Tazkirah ramadhan oleh Dato Dr Haron Din di dalam HarakahDaily mengenai peluang mendapat pengampunan dosa dari Allah pada malam Lailatul Qadar perlu dihayati oleh setiap insan yang mengharapkan keredhaan Allah.

Antara hadis yang dipilih oleh Dato di dalam tazkirahnya itu:

"sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala Allah, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya."

'Alangkah hairannya, bagi orang yang dianugerahkan umur sehingga selesai satu Ramadan tiba-tiba ia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT. '

Daripada Aishah r.a dengan pesannya,"wahai Aishah, sekiranya kamu ditemukan Allah dengan malam Qadar, maka perbanyakkan doa memohon kepada Allah yang ditentukan perkara yang hendak dicapai dalam doa itu ialah : Ya Allah ! Kamulah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mulia, Ampunkanlah dosa saya."

Alangkah bertuahnya seandainya Eidulfitri dapat disambut dalam keadaan bertemu Lailatul Qadar dan diampunkan segala dosa... Ya Allah masukkan kami di dalam golongan ini, amin!!!

ilmu..

Found a useful article. Hope to share with everybody.. Semoga bermanfaat..


From:http://resipikawin.blogspot.com/2006/07/nafkah-batin-bukan-hanya-keperluan.html

NAFKAH BATIN: BUKAN HANYA KEPERLUAN SEKS

Tidak semua wanita yang tidak mahu berkahwin itu terlalu memilih suami yang berpangkat dan bergaji besar. Ada juga dikalangan mereka yang bercita-cita ingin mencari lalaki yang berilmu dan beramal diatas segala apa yang telah diperintahkan oleh Allah swt.

Oleh itu mereka terpaksa bertangguh untuk mendirikan rumahtangga dan untuk mencari seorang lelaki yang beramal saleh di akhir zaman ini ibarat payahnya mencari sebutir mutiara asli. Sebabnya, ramai suami dewasa ini mencuaikan tanggungjawabnya di dalam mendidik ahli keluarganya malah tugas itu diserahkan sepenuhnya kepada isteri dan guru sahaja.

Kita percaya hampir ke semua suami berjaya menunaikan tanggungjawabnya di dalam memberi nafkah zahir(seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal) kepada ahli keluarganya. Tetapi bagaimana pula dengan tuntutan nafkah batin? Rata-rata masyarakat sekarang memahami bahawa tuntutan nafkah batin itu sekadar untuk melepaskan keperluan seks melalui jalan yang sah dan tidak lebih dari itu.

Bila sesempit itu pandangan mereka, maka timbullah berbagai masalah di dalam rumahtangga. Contohnya, ahli keluarga tidak pandai bersembahyang, tidak pandai mengaji Al Quran, cuai berpuasa dan tidak tahu hukum halal dan haram. Isteri dan anak-anak hidup terbiar tanpa asuhan dan dididkan Islam yang sewajarnya.

Nabi saw telah mengingatkan para suami dengan sabdanya yang bermaksud:"Takutlah kepada Allah dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang berada di sampingmu; barangsiapa tidak memerintahkan sembahyang kepada isterinya dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka ia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya."

Menunaikan nafkah batin bererti mengajar isteri dan anak-anak dengan ilmu serta didikan agama yang sempurna sehingga terbentuknya sebuah keluarga yang dianggotai oleh mereka yang soleh dan solehah. Barangsiapa yang cuai atau lari daripada tanggungjawab ini bererti dia telah menempah jalan ke neraka.

Nabi saw pernah bercerita menerusi sabdanya yang bermaksud:"Tidak ada seseorang yang menjumpai Allah swt dengan membawa dosa yang lebih besar daripada seorang suami yang membodohkan ahli keluarganya."

Apakah ilmu-ilmu dan didikan yang mesti diajarkan oleh seorang suami kepada ahli keluarga? Setiap suami bertanggungjawab mengajar anak isterinya ilmu-ilmu fardhu ain iaitu tauhid, fekah dan tasauf. tujuan mempelajari ilmu tauhid supaya aqidah mereka bertepatan dengan fahaman ahli sunnah wal jamaah. Contohnya, mempelajari sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah dan Rasul. Mempercayai rukun-rukun Iman dan rukun-rukun Islam.

Kita diwajibkan mempelajari ilmu fekah sebagaimana penekanan Allah menerusi firmannya bermaksud:"Ketahuilah! Bahawa dianjurkan bagi seorang suami memerintahkan isterinya(dan mengingatkannya dengan nada yang lembut) dan menafkahinya menurut kadar kemampuannya dan berlaku tabah (jika disakiti oleh isterinya) dan bersikap halus kepadanya dan mengarahkannya ke jalan yang baik dan mengajarnya akan hukum-hukum agama yang perlu diketahui olehnya iaitu hukum bersuci, haid dan ibadah-ibadah (yang wajib dan sunat)."

Justeru itu, suami mesti mengajarkan isterinya cara-cara mandi hadas dan berwuduk serta masalah haid, nifas dan wiladah. Juga mengenai cara-cara menyucikan najis serta pembahagian air yang wajib untuk dibuat bersuci, hukum halal dan haram serta banyak lagi.

Tujuan mempelajari ilmu tasauf pula supaya setiap amalan yang dilaksanakan itu benar-benar ikhlas dan dijauhkan daripada bersifat riyak, ujub (hairan kepada diri sendiri) sombong dan lain-lain lagi.

Selain daripada perkara-perkara asas tersebut suami juga bertanggungjawab mendidik isteri, berakhlak mulia terhadapnya dan terhadap anak-anak, ibubapa, sesama isterinya sekiranya ada, rakan-rakan, jiran tetangga serta masyarakat.

Suami perlu memberitahu isteri tentang adab seorang isteri bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakannya. Juga tentang akhlak semasa bersama anak-anak iaitu berbual dengan mereka dengan bahasa yang baik dan jangan suka memaki-hamun mereka dengan bahasa yang kesat. Kerana sesungguhnya kata-kata ibu itu mengandungi doa; jika tercetus dari mulut ibu kata-kata seumpama "Beruk punya anak1" maka lahirlah watak beruk pada si anak yang sukar untuk dilentur perangainya.

Ajarkan juga isteri supaya menghormati dan beradap sopan ketika berhadapan dengan ibubapa dan mertuanya. Memuliakan keluarga suami lebih daripada yang lain. Sentiasa memberi nasihat kepada isteri jika ia suka mengumpat, berleter atau memfitnah jiran tetangganya. Ingatkan isteri supaya jangan suka menceritakan keburukan dan kelemahan suami kepada orang lain.

Selalu ingatkan isteri supaya banyak bersabar dalam menempuh segala ujian dan perintah-perintah Allah swt. Ajarkannya batas-batas aurat dan batas-batas pergaulan seorang wanita. Pastikan auratnya terkawal ketika pergaulan dengan sanak saudara, sahabat-sahabat perempuan, dan ketika berhadapan dengan lelaki yang bukan muhramnya. Dan supaya isteri tidak keluar rumah tanpa izin daripada suami.

Isteri yang berjaya dididik dengan baik akan menjadi insan yang patuh kepada Allah dan taat pada suaminya dikala susah mahupun senang. Dia akan menjadi insan yang sentiasa menjadi pendorong serta penasihat kepada suami dalam hal-hal kebaikan, malah sentiasa mendoakan keselamatan ke atas suaminya pada setiap waktu.

Kesimpulannya, inilah sebahagian daripada tanggungjawab suami dalam menunaikan nafkah batin kepada isteri. Kiranya suami jahil dan tidak mampu untuk mengajar isteri dan anak-anak, dia wajib berusaha mencari guru yang mampu mengajar. Semoga dirinya dan ahli keluarganya terselamat daripada seksa di akhirat kelak.

Ibnu Abbas pernah berkata: :Berilah pengertian agama kepada mereka (ahli keluarga) dan berilah pelajaran budi pekerti yang bagus kepada mereka."

Monday, 1 October 2007

10 malam terakhir

Ya Allah, begitu cepat Ramadhan berlalu. Antara sedar atau tidak, rupanya ia hampir meninggalkan kita. Begitu cepat rasanya masa itu berlalu. Malam ini bermulalah trimester bulan yang mulia ini. Bulan di mana umat Islam yang sedar akan kelebihan bulan ini memulakan ekspedisi mencari malam yang agung, malam yang dijanjikan Allah mengandungi seribu kebaikan bagi sesiapa yang dipilih Allah berjaya mencarinya.

Sungguh benarlah, Ramadhan itu bulan ujian. Bulan yang sungguhpun dirantai syaithan yang biasa mengganggu anak adam seperti yang dinyatakan dalam Al Quran, namun hawa nafsu yang terdapat dalam diri setiap manusia itu jika tidak berjaya dikawal maka jadilah manusia menyerupai haiwan, atau mungkin juga lebih teruk dari itu.

Sesungguhnya Islam itu indah. Islam itu penyelesaian kepada masalah manusia. Tetapi kadang-kadang penafsiran yang berbeza terhadap kandungan Al Quran, yang merupakan manual kehidupan umat manusia menjadikah kehidupan manusia dalam kucar kacir. Masing-masing cuba menafsirkan sendiri dan mengira bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah dari ajaran agama yang suci.

Diri yang kerdil ini sedar bahawa apalah ilmu yang ada di dada ini untuk dibawa sebagai bekalan menuju kehidupan yang abadi. Namun dengan ilmu yang sedikit yang dikurniakan Allah ini lah, harapnya dapat menjadikan diri insan terpilih yang mendapat sekelumit rahmat dan kasih Ilahi. Memang ku akui, jalan perjuangan itu penuh onak berduri. Bukannya mudah untuk sampai kepada redha Ilahi, tatapi jalan itu juga ramai yang melaluinya. Ya Allah, kurniakan hambamu ini sedikit kekuatan, sedikit kesabaran untuk dia melalui jalan menuji redhaMu. KasihMu kuharapkan Ya Allah, demi menempah tempat bersama2 hamba2 yang Engkau pilih berada di syurgaMu. Temukan aku dengan malam agung yang Engkau janjikan kepada hamba2 yang terpilih. Kasihanilah hambamu yang hina ini.. Ampunkanlah segala dosa2 yang telah dilakukan.. Kejutkanlah hambamu ini dari lamunan dan mimpi2 yang tidak berfaedah buat dirinya.. Semuga diri ini tergolong dalam golongan yang Engkau redhai.. Ameen!

Wednesday, 26 September 2007

hari ini 26hb Sept

i. 32 tahun masehi yang lepas, seorang ibu kesakitan kerana hampir melahirkan seorang puteridi bandar nun jauh ke selatan tanahair. Kesakitan yang amat, akhirnya lahirlah seorang puteri yang comel. Menangislah dia kerana dilahirkan ke alam yang penuh dengan segala kebaikan dan keburukan..
Kini, sudah 32 tahun masehi kehidupan, Alhamdulilah masih diberi kesempatan oleh Allah untuk meneruskan perjuangan yang entah bila akan berkesudahan. Tak lupa juga kepada Masni, sahabat yang ditemukan di bumi Cardiff. Dilahirkan pada tanggal tarikh yang sama. Kak Sarenawati juga, 35 tahun masehi yang lepas telah ditakdirkan Allah lahir ke muka bumi ini. Di antara sahabat2 yang bersama2 menyambut tarikh kelahiran yang sama, mengenangkan perjuangan kehidupan yang penuh liku, pahit dan manis, samada yang dirasai bersama, dikongsi bersama mahupun yang banyaknya dilalui sendirian. Bersyukurlah kita kerana masih diberikan sisa2 hidup untuk mengumpulkan bekalan demi perjuangan yang kekal kelak. Semuga kita tabah dalam mengharunginya..




ii. Masih menanti, menantikan sebuah kepulangan. Pedih berpisah, tak siapa yang mengerti kecuali yang merasai. Berita dari AmalMalaysia.net
25-09-2007 10:06:15 PM
23 September 2007 (AMAL) – Bandar Padang Sumatera, Indonesia satu lagi destinasi Sukarelawan Yayasan Amal Malaysia (AMAL) turun padang untuk menabur bakti kepada mangsa-mangsa gempa bumi baru-baru ini. Pasukan Misi Kemanusiaan AMAL yang di ketuai oleh Presiden AMAL, Tuan Hj Husin Ismail dengan di sertai oleh Timbalan Presiden, Sdr Jamuliddin Elias, Naib Presiden 1 Dr. Abd Rani Osman yang juga Ketua Biro Kemanusiaan AMAL, Naib Presiden 2 Dr. Hamdan yang juga Ketua Biro Perubatan AMAL, Ketua Setiausaha Sdr Hamid Seman, Dr Rosli (AMAL Kelantan), Dr. Mahayuddin (AMAL Kedah), Sdr Johari A.Wahid (AMAL Pahang) dan beberapa lagi sukarelawan yang turut serta dalam misi kemanusiaan kali ini.
Misi kali ini bermula dari 23hb hingga 27hb September 2007. Setelah tiba di Airport Padang , pasukan ini akan bergerak ke Bandar Bangkulu iaitu lebih kurang 13 jam perjalanan dari Bandar Padang. Pasukan ini yang terdiri dari 4 orang doktor serta berbekalkan ubat-ubatan dan beberapa peralatan perubatan asas, mereka telah mengorbankan masa dan tenaga lebih-lebih lagi cabaran getir di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini.
Semoga usaha-usaha murni ini mendapat keredhaan Allah swt. dan sokongan yang berterusan dari orang-ramai terutama rakyat Malaysia yang sentiasa ingin membantu orang-orang yang dalam kesusahan iaitu mangsa-mangsa gempa bumi di Sumatera , Indonesia . Marilah kita berdoa agar misi kali ini berjaya mencapai objektifnya.
Jika anda perihatin dan ingin bersama membantu, sila melalui :

Yayasan Amal Malaysia bank account :-

Maybank : 553010122090

or Bank Muamalat : 13-010-002499715

or SHBC (International) : 001-057884-021





Insya Allah, jika dipanjangkan umur dapatlah bertemu. Sungguh hati mana yang tidak resah. Namun demi sebuah perjuangan, ku redha dengan ketentuan yang telah ku pilih.




11 tahun yang lalu, cadangan seorang sahabat agar kami disatukan di atas nama Bait Muslim ku terima dengan hati lapang dan terbuka. Bukan atas dasar rupa, pangkat, jauh sekali harta.. hanya satu yang kuharapkan, biarlah rumahtangga yang terbina ini atas dasar keimanan dan menuju ke arah darul sakinah, dipenuhi rahmah dan mawaddah. Sesungguhnya aku bertekad meletakkan cinta Ilahi sebagai asas kepada cintaku kepada hamba Allah yang satu ini. Selagi hayat dikandung badan, tiada yang lain bertakhta di hati.. Aku mahu bergelar isteri pejuang. Aku juga mahu bergelar pejuang.. Maka, berjuanglah aku.. Berjuang memerlukan kesabaran, memerlukan kekuatan, memerlukan ujian.. semakin hebat berjuang, semakin kuat ujian, semakin hebat pula keperluan kesabaran.




Biarpun pahit kehidupan tidak dinafi, namun bersyukur kepada Allah di atas segala yang manis itu lebih banyak kebaikkannya. Hidup sebagai manusia, membuatkan kita menerima hakikat bahawa tiada yang sempurna di alam fana' ini. Yang Maha Sempurna itu milik Yang Maha Esa. Makanya, bersyukurlah dengan apa yang ada. Setiap yang buruk itu ada kebaikan, dan di sebalik penderitaan itu ada kebahagiaan. Belajar menghargai pemberian Allah, samada yang dirasakan itu baik mahupun buruk.

Monday, 24 September 2007

Catatan Hari ini


Alhamdulilah, hari ini hari ke 12 berpuasa. Setakat ini kakak cukup puasa. Cuma abang Ngah yang sudah ponteng sehari. Setakat ini, ummi masih berupaya bangun sahur demi anak2 tersayang. Bimbang sekiranya tidak dikejutkan untuk sahur, akan ada alasan untuk tidak berpuasa hari tersebut. Biarpun letih, sesekali diulit perasaan malas untuk bangun.. namun digagahkan juga diri ini untuk bersahur bersama anak2.


Masuk hari ke2, kekasih hati berada nun diseberang laut. Demi cintanya kepada dakwah dan melakukan kebajikan kepada ummat manusia, lebih2 lagi yang memerlukan bantuan selepas ditimpa bencana gempa bumi. Seharusnya aku bangga mempunyai suami yang begitu perhatin kepada kesusahan orang lain. Sebagai isteri seorang pejuang, seharusnya aku menjadi penguat semangat suami untuk terus melakukan kebajikan. Sentiasa mendorong agar suami sentiasa terkehadapan dalam memperjuangkan agama.

Aku juga wajib memastikan diriku dan anak2 sentiasa sihat dan selamat. Aku juga wajib memastikan ibadah2ku juga terjaga demi menghindarkan diriku dan anak2 dari anasir2 luar yang bisa mengugat kerukunan rumahtangga kami. Selallu ditinggalkan, membuatkan isteri berasa kosong.. namun kekuatan harus dicari dari sumber yang sebenar.. Takutkan Allah, itu yang penting. Mengingatkan kasih sayang Allah itu lebih berharga dari segalanya, insya Allah ketenangan itu akan hadir dengan sendiri..
p/s yang mana satu.. idaman kalbu..

Respon tentang Nurin

Saya petik respon seorang pengunjung ke laman weblog Saifulislam.com terhadap entry yang berkaitan dengan insiden adik Nurin. Semoga menjadi penghayatan buat kita bersama, ke arah melahirkan institusi keluarga yang lebih mantap..

Apakan peranan kita sebagai seorang ibu?
Patutkah kita menyalahkan diri kita sendiri?
Kajilah sikap diri kita terhadap anak-anak.

Apakan kasih saying yang kita berikan untuk anak-anak itu ikhlas kerana Allah?
Atau kita mengharapkan balasan yang berupa kebendaan bila mereka dewasa nanti!
Apakan kita memberikan pendidikan yang seimbang kepada anak-anak?
Atau kita mementingkan pendidikan akedemik dari pendidikan rohani
Apakah kita mendidik anak-anak untuk mengenal Allah?
Atau kita medidik mereka untuk lupakanNya degan kesibukan dunia!
Apakah kita bertanggung jawab mendidik anak-anak kerana Allah akan menanya kita di akhirat kelak?
Atau kita serahkan kepada pembantu, guru-guru dan yang lain!
Apakah kita memberi perhatian apabila mereka berbicara kepada kita?
Atau kita tidak mengindahkan mereka dengan kata-kata pergi tanya ayah sebab ibu sibuk ni!Apakan kita menanamkan keimanan dalam hati anak-anak?
Atau kita menanam kemungkaran sehingga mereka menolak fitrah!
Apakan kita meluangkan waktu untuk bermain-main dengan anak-anak?
Atau kita menyuruh mereka pergi bermain dengan video game yang bertemakan keganasan!Apakah kita meyedarkan anak-anak dengan dasar-dasar akhlak yang mulia?
Atau kita serahkan kepada TV untuk menerap dasar-dasar yang tidak bermoral!
Apakah kita mengamalkan berdoa untuk anak-anak?
Atau kita lalai atau kurang berdoa untuk mereka!
Apakah kita memberi motivasi atau dorongan yang positif kepada anak-anak?
Atau kita menakutkan mereka dengan kekerasan dan paksaan!
Apakah kita menegur anak-anak dengan penuh kasih saying?
Atau dengan mengeluarkan kata-kata kasar dan makian!
Apakan kita membersihkan hati anak-anak kita daripada sifat yang keji?
Atau kita kotorinya dengan sifat-sifat yang keji1
Apakah kita menunjukkan penampilan diri yang bersesuaian dangan syarak kepada anak-anak?Atau kita berpakaian seksi dihadapan mereka!
Apakah kita menanam rasa cinta dan takut kepada Allah dan cinta akhirat dalam hati anak-anak?
Atau kita tanam dengan sifat remeh cintakan dunia yang tidak mempunyai nilai apa-apa!
Kajilah diri sendiri dan buatlah perubahan sikap kerana anak-anak akan mencerminkan pribadi kita nanti…


Buat yang membaca.. dubia hari ini sudah tenat. Manusia di dalamnya juga begitu. Semakin hari semakin kronik sakitnya. Hanya menunggu ajal.. Maka persiapkanlah diri dengan bekal apa yang ada demi sebuah perjalanan yang abadi..