Tuesday 31 July 2007

Erti Hidup pada memberi

Memang tak dapat dinafikan, aku salah seorang peminat web yang menggunakan tema ini. Banyak yang dapat aku pelajari dengan melawat web ini dan aku yakin ramai di luar sana yang bersependapat denganku. Apa yang hendak dicoretkan hari ni tiada kaitan secara langsung dengan kandungan web tersebut. Cumanya aku suka nak meminjam tema yang digunakan.. erti hidup pada memberi.

Lebih kurang 14 tahun yang lalu, sewaktu mula-mula tiba di bumi UK.. aku seperti kebanyakan rakan2 yang lain.. huha sana sini, suka lepak, pandai berpakwe. Tapi semua itu berubah Alhamdulilah sebaik sahaja aku menyertai kawan-kawan yang suka bertamrin dan berusrah. Aku akui, aku tidaklah secerdik kebanyakan orang yang mendapat tawaran belajar di luar negara. Tetapi sehingga hari ni aku dapati itulah hikmahnya.. Allah sayangkan diri ini. Dibawanya aku ke negara orang, menjadikan aku hamba yang mencari2 sesuatu untuk berpaut ketika tergapai2 mencari sesuatu ketika hanyut dalam kehidupan. Alhamdulilah, syukurku tak terhingga.. Allah sayangkan aku dan sahabat2 yang bersama2 denganku ketika itu.. Kami ditemukan dalam keadaan masing2 cuba menggapai sesuatu dan gapaian kami mengena pada dahan yang sangat ampuh untuk menyelamatkan kami di dunia dan harapnya sehingga Akhirat.

Sungguh keras hati ini, sekali sudah ku gapai.. tak mahu kulepaskan dahan tersebut. Lantas aku diuji.. Kekasih dunia atau kekasih Akhirat. Dia hadir dalam hidup ku semasa aku dibangku sekolah rendah lagi. Aku tak pernah merasakan bahawa dia akan membalas kasihku sehinggalah saat aku mula berpaut pada dahan yang sangat ampuh itu tadi. Allah menguji aku, yang mana jadi pilihanku.. Aku nekad. Biarlah ku buang segala macam ancaman yang bisa menggoyangkan pegangan ku pada pautanku tadi. Aku pasrah memilih cinta Tuhan berbanding cinta manusia.. Itu 14 tahun yang lalu..

Masuk tahun ke3 aku di bumi UK itu, aku diuji lagi.. Kali ini kefahamanku, muslimat tidak sepatutnya berjalan jauh tanpa muhrim dan kedudukan wanita itu akan tinggi apabila bergelar isteri. Aku jadi runsing.. Mana bisa dihimpun 2 cinta dalam satu hati.. Alunan nasyid the Zikr benar2 membuatkan aku dalam dilema. Namun aku pasrah, kerana perkahwinan itu sunnah. Maka aku nekad untuk meneruskan perjalanan hidup dengan status isteri. Ku pilih suamiku bukan kerana cinta. Aku pertaruhkan keputusan memilih dia selepas beberapa kali solat Istikharah. Kami tidak mengenali hati budi masing2 sebelum kami berkahwin. Segala2nya kami harungi selepas berkahwin. Membuat keputusan untuk berkahwin pada bulan Disember 1995, kami bertunang pada penghujung Jun dan nikah pada 17 Ogos 1996.

Tahun ini akan masuk tahun ke11 umur perkahwinan kami. Insya Allah, awal Disember ini aku bakal melahirkan anak kami yang ke6. Telah kami lalui bersama pahit manis, suka duka dalam kehidupan berkeluarga. Aku hargai pengalaman yang Allah berikan, bergelar ummi sewaktu masih dibangku universiti lagi. Kenangan sebagai isteri seorang pelajar, dari seorang anak kepada 2. Tamatnya suami dengan gelaran doktor bersama 2 sijil kelahiran anak. Semuanya ku terima dengan redha.. Memang, bukan mudah mengharung hidup berkeluarga. Terlalu banyak cabaran dan rintangan.. Namun Alhamdulilah, tahun ini masuk tahun yang ke11.

Kalau dikira umur manusia, 11 tahun ini masih dizaman kanak-kanak. Awal remaja kukira.. Semakin meningkat dewasa, semakin mencabar pula ujian dan rintangan. Biarpun bersama kedewasaan itu terdapat sedikit kematangan, namun kanak-kanak masih di kira kanak-kanak. Masih perlu bimbingan orang lebih dewasa, masih belum bijak membuat keputusan.. Namun tema blog sahabat ini terlalu memberi kesan kepada diri kerdil ini..

Ada satu entry yang kubaca, dimana dikaitkan erti hidup pada memberi dengan kehidupan berumahtangga. Tapi itu pandangan seorang suami.. Bagaimana pula pandangan seorang isteri.. Apa erti hidup pada memberi dalam kehidupan suami isteri dari kacamata isteri...?

Aku muhasabah diri sendiri.. Di saat2 aku membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga, aku membuat keputusan memilih cinta Allah melalui cinta manusia. Redha Allah apabila suami redha. Aku pasrah dalam memilih walau ku tahu, manusia biasa tidak berkuasa mengumpul 2 cinta dalam satu hati. Aku memilih untuk berusaha ke arah itu.. Aku berusaha untuk mendapat cinta Allah dengan menyatukan cinta pada manusia.. Dalam banyak keadaan, aku gagal.. Aku selalu meletakkan cinta terhadap insan itu melebihi cinta terhadap Khaliq.

Alhamdulilah, ku kira Allah masih tetap sayang pada ku walau beribu dosa yang kulakukan. Allah izinkan aku menjadi tetamunya di tanah suci Mekah, dan ini merupakan kenangan termanisku dalam kehidupan berumahtangga. Syukurku tak terucap.. pada suamiku dan juga pada Allah yang sudi menerimaku.. Januari 2004, bulan keramat bagiku.. Mengingat inilah, syukurku tak berkesudahan kerana Allah mengurniakan aku seorang suami yang bertanggungjawab. Kami sama-sama manusia biasa, tidak jauh dari melakukan dosa dan maksiat, namun rahmat Allah ada bersama apabila kita yakin bahawa asas kepada keharmonian rumahtangga itu terletak kepada keredhaan Allah.

Kini aku teruji lagi.. Dimanakah kesetiaanku sebagai seorang isteri? Aku dipersimpangan.. Aku perlu membuat keputusan dan memilih antara cinta Allah dan cinta pada manusia.. Sungguh, Al Quran telah menyebut, dan aku tidak pernah mahu menolaknya.. Diizinkan keatas seorang lelaki itu berkahwin 4, 3, 2 dan jika tidak mampu cukuplah 1.. Arghh aku tersepit kali ini..

Erti hidup pada memberi dari kacamata seorang isteri.. salahkah jika aku katakan, membenarkan suami berpoligami? Akukah yang berkata2 ini atau siapa? Terus terang aku katakan, memang setelah pulang dari kota suci itu aku mencari2 semula diriku. Dalam banyak masa, aku kehilangan aku yang sebenar. Tewas dengan pujukan dunia.. terlalu memanjakan diri dengan kemewahan dan rahmat Allah yang sedia ada. Namun ada ketika2 aku diuji, aku pulangkan semula diriku kepada empunya hati manusia. Di situ ku temui kedamaian, ketenangan, kekuatan dan kesabaran.. Allah sayang pada ku.

Aku pasrah.. Mungkin ini caranya Allah mahu mengambilku semula.. Allah cemburu kepadaku.. Dia mahu kupulangkan diri, kasih sayang dan perhatianku kepadaNya semula. Andai itulah hikmah yang tersembunyi, siapa yang tidak mahu.. Teringat kata2 seseorang, wanita yang redha suami berpoligami bakal dipayungi payung emas di syurga.. Sudahlah berada di syurga, di bawah payung emas pula.. siapa yang tidak mahu. Tapi, layakkah aku?

Ketika dan saat ini, aku merasa begitu dekat dengan Allah. Aku dapat rasa akan kehadirannya dalam diri ini melalui ketenangan dan kedamaianku ketika ini.. Tapi manusia biasa ini tidak bisa berada di tahap ini sepanjang masa.. Apa akan jadi diwaktu iman ku merudum? Di waktu aku terasa jauh dari rahmat Allah? Aku tidak mahu menjadi isteri yang nusyuz..

Ya Allah berikan aku kekuatan.. tunjukkan hambamu ini jalan kebenaran. Ujilah hambamu ini dengan ujian yang tertanggung oleh ku ya Allah.. Pada mu sahajalah ku pohonkan pimpinan.. Tuhan yang Maha Berkuasa yang memiliki Arasy yang tinggi.. Kasihanilah hambamu ini. Bantulah aku, ya Tuhanku..

Friday 6 July 2007

Not myself..

Pagi tadi ada program 'training for trainers'. Memang berhajat nak pergi. Sehari, 2 yang lepas telah cuba dapatkan adik2 yang boleh membantu dalam menjaga anak2. Tapi masing-masing ada hal sendiri. Hmm, kalau susah cari orang bawak sahaja anak2 itu.
Tapi pagi tadi, seolah-olah hilang punca. Selepas subuh, tidur semula. Keletihan? Mungkin ye, mungkin tidak. Sengaja buat2 tidur.. mungkin juga iya. Ntah, confius! Pukul 9, kerana kasihan pada Ateeqah, ummi bangun menuju ke dapur membuatkan susu. Terus diniatkan dalam hati, hari ini mesti buang sampah. Sampah banyak.. dilonggokkan dalam kolong. Entah sudah berapa hari sampah2 itu di situ.. Di lenyapkan langsung perkataan program dari kepala ini. Tak pula rasa bersalah.. cuma terkilan. Terkilan dengan diri sendiri.. Tidak boleh berfikir secara rasional.
Selalunya kepala ini ada sahaja perkara yang difikirkan. Tapi hari ini tidak. Seolah-olah kepala ini kosong. THIS IS NOT ME!!

Thursday 5 July 2007

Pasrah

Letih.. hari ini memang meletihkan. Tapi sebenarnya hari-hari lain pun letih juga. Cuma lainnya hari ini sebab hati tidak tenang. Bila badan penat, otak banyak memikir, di tambah dengan hati yang sakit.. maka bertambahlah keletihan hari tersebut..
Kira-kira sudah 9 tahun meninggalkan alam kampus. Tahun ini tahun ke-11 berkeluarga. Status isteri dan ibu sudah 2-digit tahun disandang. Kira2 masih setahun jagung, kata orang. Memang tak nafi, tanggungjawab isteri dan ibu datang dahulu dari tanggungjawab yang lain. Cuma kadang-kadang tanggungjawab ini disalah erti.Pada setengah orang tanggungjawab isteri bukan sahaja pada melayan batin suami, tapi juga menjaga kain baju keluarga, persekitaran rumah, memastikan keperluan keluarga terjaga dan mencukupi. Bagi si ibu pula, tanggungjawab bukan terhenti dalam mendidik moral dan rohani anak tetapi perlu memastikan anak dikendong sentiasa ke mana sahaja si ibu pergi. Kalau ditinggalkan si ibu yang mesti memastikan kebajikan anak-anak. Benarkah?
Memang aku bukan mengaji ugama. Aku bukan ustazah.. aku juga bukan anak tok syeikh, yang menghafal 30 juzu' Al Quran.. memang aku jahil.. yang pasti aku hanya manusia biasa. Biarlah aku tak jadi ustazah, bimbang2 ilmu yang dipelajari tidak dapat dipraktikkan dalam kehidupan. Dah molek Allah jadikan aku adalah aku... Biarlah seburuk mana pun aku, masih ada kesedaran yang tertanam dalam diri untuk cuba menjadi yang lebih baik, baik dari segi ilmunya mahupun pengamalannya. Rasanya masih ada kekuatan dalam diri untuk sentiasa menuju kearah kebaikan, biarpun penafsiran terhadap kebaikan itu bermacam-macam.
Dalam banyak hal, telinga ini mampu untuk menebalkan dirinya. Tetapi kadang-kadang telinga ini tewas juga, menyebabkan apa yang menembusinya akan terus disampaikan ke hati. Maka apabila hati yang membuat pertimbangan, akan rosak binasalah amalan kerana tidak ditapis dahulu oleh aqal. Ketika telinga menebalkan diri, aqal mampu berfungsi. Tetapi apabila telinga tewas, batang tubuh ini tidak terdaya menahan akibatnya... Aku pasrah!!!
Tidak ada wanita yang mengaku Allah itu Tuhan tidak mengimpikan menjadi isteri yang solehah. Tidak ada juga yang mahu menolak gelaran ibu mithali.. Tetapi untuk mencapai keduanya, harus tabah & sabar melalui proses penapisan dan pembersihan.. Mampukah aku?

Apa rasanya di salah erti

Meminjam tajuk post seorang sahabat yang dikagumi.. Entry yang di'post' tak de kaitan pun dengan apa yang nak dirakamkan di sini. Tapi ini sebenarnya biasa terjadi dalam kehidupan. Dalam banyak benda kita akan selalu disalahertikan, biarpun menggunakan perkataan yang sama serupa dengan orang yang dilawan cakap.. tapi disalah erti akan sentiasa berlaku.
Memang sakit bila disalah erti. Apa lagi jika yang menyalah erti itu orang yang paling dekat dengan diri kita.. Soalan yang mudah menjadi payah jika disalah erti. Begitu juga jawapan yang mudah menjadi complicated bila disalah erti.
Dalam hidup perlu ada komunikasi. Tapi komunikasi yang macamana? Di setiap masa berlaku 'masalah komunikasi'. Pelik, sedangkan bahasa yang digunakan sama sahaja..

Wednesday 4 July 2007

Selamat datang Julai

Sekejap betul waktu berlalu. Masuk bulan Julai dah la ni. Dah setahun lebih rupanya kami di Malaysia. Cuaca semakin panas.. Tak tau la kalau saya seorang yang merasai kepanasan melampau ni.. yelah, perut pun dah semakin menampakkan busut. Semenjak 2 menjak ni pulak, asyik minum air batu. Makin panaslah rasanya.



Lama tak menulis.. tak tau apa yang hendak ditulis. Kepala makin berat memikir.. Ntah apa yang difikir. Hari ke sehari, masih belum ketemu rumah yang lebih sesuai dari yang dilihat di Taman Sri Iman. Jauh juga kalau nak dikira. Tapi masih belum nampak tanda2 akan wujud taska di situ. Jadi, kenapa tidak..?



Masalahnya sekarang, lampu hijau dari si kekasih belum diterima. Kalau nak buka business ni perlu ada komitmen. Kalau tak mampu nak beri komitmen, atau tidak mendapat sokongan yang maksima dari si kekasih, baik lupakan sahaja cita-cita mahu menjadi pejuang kanak-kanak.



Ibu mana yang tidak mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Tidak pernah mengaku sudah menjadi ibu yang baik untuk anak-anak. Tetapi tiap detik dan tiap ketika, doa kepada Ilahi supaya menjadikan diri seorang ibu yang baik buat anak-anak tak pernah dilupa. Doa supaya anak2 jadi anak2 soleh, anak2 yang baik tingkah laku, yang menjadi saham dan bekal menuju ke syurga. Maka harus ada persekitaran yang baik demi melahirkan anak2 yang baik. Kalau anak sendiri sahaja yang baik, tapi persekitaran dan teman-teman tidak begitu, masakan anak2 bisa jadi baik. Bagi yang punya kesedaran, membaiki masyarakat wajib bermula dari saat bayi lagi. Buluh fitrahnya keras. Tapi masih boleh dilentur jika masih rebung..